Harimau Malaya Satu Liga Dengan Indonesia Jika AFC Nations League Dilaksanakan

Kelmarin media tempatan melaporkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dikatakan bersedia untuk mengikut jejak langkah UEFA dengan mengenalkan Liga Negara-Negara Asia atau AFC Nations League.

Menurut laman Berita Harian, pihak AFC dikatakan akan menimbangkan cadangan mengadakan liga tersebut kerana terinspirasi dengan idea yang dilakukan oleh UEFA.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi menyokong hasrat AFC itu dan berpendapat cadangan tersebut harus dikaji lebih mendalam bagi mengelakkan masalah timbul selepas ia dilaksanakan nanti.

“Sudah tentu FAM menyokong penuh sebarang perubahan yang dapat membantu semua pasukan mendapatkan aksi kompetitif dengan lebih baik dan tersusun.

“Apapun, pelaksanaannya memerlukan kajian mendalam memandangkan jika hendak dibandingkan dengan Eropah, benua itu tidak begitu besar dan jarak antara negara juga dekat.

“Ia jauh berbeza dengan benua Asia di mana dalam hal ini, ia membabitkan faktor logistik dan kesediaan semua pasukan untuk menempuh jarak perjalanan jauh bagi aksi persahabatan.

“Apa yang saya lihat adalah penyusunan jadual oleh AFC akan menjamin setiap pasukan mematuhi jadual perlawanan dan tiada timbul masalah pasukan membatalkan aksi perlawanan,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.

Malaysia dijangka akan membarisi Liga C jika AFC melaksanakan nations league tersebut. Pemilihan pasukan dalam liga ini dibuat berdasarkan kedudukan ranking terkini Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi semua 46 negara di benua Asia.

Format UEFA Nations League

Malaysia yang berada di ranking ke 171 dunia itu akan berada sebaris dengan Turkmenistan, Yaman, Myanmar, Hong Kong, Afghanistan, Maldives, Kuwait, Nepal, Indonesia dan Singapura dalam Liga C mengikut kedudukan ranking ke 25 hingga 36 dalam benua Asia.

Liga A akan dihuni oleh 12 pasukan terbaik Asia yang melibatkan Iran, Australia, Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi, Syria, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Lubnan, Oman, Iraq serta Republik Krygyzstan.

Manakala Liga B akan dibarisi oleh Uzbekistan, India, Qatar, Palestin, Vietnam, Korea Utara, Jordan, Bahrain, Filipina, Tajikistan, Thailand dan Taiwan.

Baki 10 pasukan iaitu Laos, Bhutan, Macau, Mongolia, Guam, Timor Leste, Bangladesh, Brunei, Sri Lanka dan Pakistan pula melengkapkan Liga D.

Memandangkan jumlah bilangan negara di benua Asia kurang berbanding Eropah, AFC akan menggunakan mekanisme 12-12-12-10 berbanding Eropah yang menggunakan format 12-12-15-16 untuk membahagikan pasukannya dalam empat liga mini.

Semua pasukan dalam setiap liga akan diundi untuk mengisi empat kumpulan kecil (1, 2, 3, 4) kecuali Liga D yang menampilkan tiga kumpulan sahaja.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram