Hamidin Nafi PSSI Halang Pemain Indonesia Berhijrah Ke Liga Malaysia

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI) tidak pernah menghalang dan menyekat pemain dari republik itu beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).

Beliau bercakap kepada Berita Harian, PSSI mengakui pemain mereka berhak menentukan masa depan mereka termasuk mengambil keputusan menyertai mana-mana pasukan dalam saingan Liga M.

“Mereka (PSSI) ada menghubungi saya bagi menjelaskan hal sebenar. Saya dimaklumkan ia lebih kepada nasihat terhadap pemain dan bukannya menyekat penghijrahan pemain ke Malaysia.

“Mereka berhak berasa bimbang kerana harapan terhadap pasukan itu di Sukan Asia begitu tinggi.

“Apapun, mereka hanya menasihatkan pemain dan bukannya menghalang mereka daripada berpindah ke Malaysia. Pemain tetap ada hak untuk tentukan hala tuju mereka,” katanya.

Hamidin turut menjelaskan kenyataan Presiden PSSI, Edy Rahmayadi yang tidak berpuas hati dengan perpindahan beramai-ramai pemain terbaik negara itu ke Liga M sebenarnya lebih menjurus kepada kerisauan PSSI dalam mempersiapkan pasukan mereka bagi menghadapi Sukan Asia tahun depan.

Perkhabaran ini sekaligus melegakan mana-mana pasukan Liga M yang bercadang untuk mendapatkan khidmat pemain dari Indonesia untuk mengisi kuota pemain import Asia Tenggara.

Bintang tengah Indonesia, Evan Dimas akan menyertai pasukan Selangor musim depan. . Foto: TSC.

Sebelum ini, media dari Indonesia melaporkan Presiden PSSI, Edy Rahmayadi mengkritik perpindahan Evan Dimas dan Ilham Udin Aramaiyn ke Selangor dengan menyifatkan mereka tidak patriotik dan mata duitan.

Kemudian Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal bertegas dua pemain itu akan tetap bersama Selangor dan akan menyertai latihan pada 22 Disember ini.

“Pembatalan kontrak itu tidak akan terjadi karana kami sudah menandatangani kontrak dengan kedua pemain itu dan pembayaran sudah dilakukan. Kedua pemain itu akan bersama kami dan menjalani latihan pada 22 Disember ini,” jelas Subahan.

Selain Selangor, pasukan Kuala Lumpur juga dilaporkan sedang dalam proses untuk mendapatkan import dari Indonesia bagi mengisi kuota import negara Asia Tenggara.

Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan menjelaskan pihaknya memang sengaja mencari pemain import dari Indonesia kerana mereka tiada masalah dengan corak permainan dan budaya liga Malaysia.

“Ramai pekerja warga Indonesia tinggal di Lembah Klang. Jadi, kehadiran pemain dari Indonesia akan dapat menarik kehadiran lebih ramai penyokong ke stadium untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan Kuala Lumpur,” jelas Adnan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram