Hala Tuju Liga Malaysia Pasca Serangan COVID-19

Kerjasama Semuanya BOLA

Liga Malaysia

Berikutan penangguhan Liga Malaysia disebabkan oleh pandemik COVID-19, terdapat kelab yang bertanding di Liga Malaysia mengalami masalah kewangan, secara tidak langsung, penangguhan ini menjurus kepada pemotongan gaji dan kontrak pemain juga akan terjejas. 

Disebalik penangguhan liga, kelab dengan kerjasama Malaysian Football League (MFL) perlu merangka strategi untuk bergerak kehadapan, iaitu masa depan kelab selepas COVID-19. 

Berikut adalah langkah-langkah yang boleh dipertimbangkan oleh pihak yang terlibat:

1) Kelab perlu lebih kreatif dan inovatif

Pasca COVID-19 nanti, semestinya penonton tidak dapat kembali ke stadium untuk menyaksikan perlawanan.

Namun, kelab dan MFL boleh mengambil inisiatif seperti memperkenalkan kadbod penyokong dengan sokongan sistem bunyi sorakan penyokong.

Dalam masa yang sama, penyokong boleh membantu kewangan kelab dengan membeli kadbod tersebut dengan harga yang berpatutan. 

Baru-baru ini, penyokong Borussia Mönchengladbach telah memesan lebih dari 12,000 potongan kadbod untuk membantu pasukan dan sekiranya Bundesliga kembali beraksi, kadbod tersebut diletakkan di tempat duduk penyokong.

Harga kadbod tersebut ialah €19. Selain itu, hasil kutipan juga disalurkan kepada badan amal tempatan.

2) Barangan rasmi kelab

Sebelum pandemik COVID-19 bermula, adalah sukar untuk mendapatkan barangan rasmi kelab yang bertanding di liga Malaysia kerana penjualan barang rasmi kelab tidak dilakukan di seluruh negara.

Penjualan lebih tertumpu kepada negeri asal kelab tersebut. Kelab dan MFL harus bekerjasama untuk mewujudkan pusat jualan rasmi barangan kelab di setiap negeri. Amatlah dihargai sekiranya kelab dan MFL memperluaskan jualan barangan rasmi pasukan.

Sebagai peminat bolasepak, saya menyokong semua pasukan di liga Malaysia. Inisiatif ini dapat sedikit sebanyak dapat membantu dari segi kewangan pasca COVID-19.

Kelab perlu sedar, selain daripada hasil tiket, keuntungan daripada barang rasmi pasukan amat penting dalam menyumbang kepada kewangan kelab.

3) Had gaji pemain dan staff

Kelab dan MFL perlu mengambil pendekatan (sementara atau jangka panjang) untuk menggalakkan semua pasukan untuk mewujudkan had gaji untuk staff dan pemain.

Ini adalah keputusan sukar, tetapi bagi mengimbangi kewangan pasukan pasca COVID-19, setiap pihak harus memainkan peranan masing-masing dan situasi ini menguji kemampuan setiap kelab untuk mendapatkan lebih banyak penaja dan berkolaborasi dengan semua pihak yang berminat dalam industri bolasepak di dalam negara.

4) Menceburi bidang lain

Seperti yang kita tahu, pendapatan kelab adalah melalui tiket perlawanan, hak penyiaran, penajaan dan sumber komersial yang lain.

Tidak salah sekiranya setiap kelab cuba menceburi industri lain untuk menjana pendapatan kelab, dalam masa yang sama, kelab juga boleh mendapatkan nasihat daripada pihak MFL. 

Untuk menceburi industri lain, kelab perlu bersedia untuk mempelbagaikan sumber pendapatan kelab di dalam dan luar padang.

Contohnya mewujudkan rantaian perniagaan seperti hotel bajet, restoran makanan, jenama pakaian dan berkolaborasi dengan syarikat/jenama tempatan.

5) Penyokong

Kelab juga perlu melihat penyokong secara universal. Dengan menarik peminat dari dalam dan luar negara dapat membantu pendapatan kelab, dimana kelab boleh membuka cawangan secara kecil-kecilan di setiap negeri dan luar negara.

Selain itu, langkah ini dapat membantu kelab untuk mempromosikan liga Malaysia dan menaikkan nilai komersial. Kelab harus melihat penyokong lebih daripada batasan geografi. 

Sebagai orang biasa, kita hanya boleh memberikan cadangan dan menyumbang sebanyak yang kita mampu untuk industri bolasepak negara.

Ia terpulang kepada kelab dan MFL untuk mengorak kangkah ke kehadapan, dalam masa yang sama belajar dari negara luar mengenai pengurusan kelab dan liga selepas COVID-19.

Saya percaya banyak lagi inisiatif dan cadangan daripada semua pihak untuk membantu industri bolasepak untuk kembali rancak selepas COVID-19.  

Nota editor: Artikel ini adalah sumbangan Justine Pengiran yang merupakan peminat setia Liga Malaysia, telah disunting sebelum diterbitkan di Semuanya BOLA dengan kebenaran. Hantarkan artikel anda (tidak kurang dari 350 patah perkataan) ke [email protected] di dalam bentuk Microsoft Words jika mahukan ia dibaca oleh lebih sejuta pembaca kami.

Kredit foto: Terengganu FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply