Hairuddin Omar: “Cukuplah Berharap Kepada De Paula, Fokus Penyerang Tempatan”

Hairuddin Omar

Bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar berkata sudah tiba masanya untuk skuad kebangsaan kembali kepada cara asal dengan mengutamakan penyerang tempatan.

Beliau merujuk kepada kebergantungan skuad kebangsaan terhadap penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula yang jelas sekali tidak memberikan impak kepada pasukan.

Sebaliknya, Hairuddin mahu fokus dikembalikan kepada penyerang tempatan untuk menerajui barisan serangan.

Hanya tiga sahaja

Menurut Harian Metro, Hairuddin mengatakan yang hanya ada tiga penyerang tempatan sahaja yang boleh difokuskan untuk Harimau Malaya.

Mereka adalah Shahrel Fikri, Syafiq Ahmad dan Darren Lok.

Namun, masalah yang dihadapi mereka bertiga adalah masing-masing ada kesukaran yang dihadapi apabila bermain di peringkat kelab.

“Shahrel bagus dan ada potensi besar tetapi sering mengalami kecederaan, Syafiq pula rajin tetapi beliau bukannya penyerang sebenar,” ujar Hairuddin.

Bagi Darren pula, Hairuddin berpendapat walaupun beraksi baik bersama PJ City tetapi namanya sering terlepas dari pandangan Tan Cheng Hoe.

Semua kena bersatu

Hairuddin juga mengatakan yang sudah tiba masa untuk semua pasukan Liga Malaysia bersama-sama mengambil inisiatif menghasilkan penyerang berkualiti.

Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada pemain import, tetapi manfaat akan diterima baik oleh skuad kebangsaan.

Setakat ini, beliau cuma lihat hanya Johor Darul Ta’zim, Terengganu, Selangor dan Akademi Mokhtar Dahari sahaja yang menghasilkan penyerang tempatan.

“Bagaimana pula dengan kelab lain?,” soal Hairuddin.

Sesuatu harus dilakukan kerana bagi bekas penyerang Kelantan dan Negeri Sembilan ini, ianya akan memberi implikasi buruk untuk jangka masa panjang.

Hairuddin Omar merupakan pemenang Piala Malaysia bersama tiga pasukan iaitu Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply