Hafizul Hakim Masih Menanti Status Tawaran Kontrak Baharu Bersama Perak

Hafizul Hakim Perak Latihan

Selepas kehilangan beberapa tonggak utama pasukan sejak beberapa minggu ini, Perak kemungkinan bakal kehilangan seorang lagi pemain jika tiada penyelesaian dapat dicari iaitu penjaga gol utama, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Beberapa pasukan di Liga Malaysia dikhabarkan berminat untuk menyambar penjaga gol utama Perak dan juga adalah tonggak skuad kebangsaan. Musim lalu, Hafizul Hakim beraksi hampir 30 kali dalam tiga kejohanan, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Dengan ketidaktentuan mengenai kontraknya bersama The Bos Gaurus, Hafizul Hakim mungkin akan terpaksa meninggalkan pasukan seperti Brendan Gan, Nor Hakim Hassan dan lain-lain.

Brendan Gan dan Nor Hakim Hassan telah sah menyertai kem Selangor dengan bekas kapten Perak, Nasir Basharudin pula memilih untuk bersama pengendali muda, Nafuzi Zain.

“Saya masih menanti pihak pengurusan membuat tawaran [kontrak]. Saya hanya boleh membuat keputusan selepas mendapat tawaran,” ujar pemain berusia 26 tahun itu.

“Saya ada mendengar beberapa pasukan yang berminat untuk mendapatkan saya tetapi saya pun kurang pasti mengenainya.

“Buat masa sekarang, saya hanya akan fokus dengan sesi latihan dan bersedia untuk pra musim sambil menanti tawaran kontrak,” tambahnya lagi mengenai status kontrak yang masih tergantung.

Jika Perak gagal memberikan tawaran kontrak kepada penjaga gol nombor satu mereka ini, penyokong Perak boleh mengandaikan akan kehilangan seorang lagi tonggak yang dijangka boleh memberi kesan besar kepada perjalanan musim 2020.

Ini kerana, daripada tiga penjaga gol yang disenaraikan pada musim 2019, Hafizul Hakim telah beraksi dalam hampir semua perlawanan sementara Khairul Amri Salehudin cuma bertindak sebagai pengganti sekiranya beliau tidak dapat beraksi.

“Saya cuma mahu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk musim baharu,” jelasnya lagi kepada portal The Star.

Disamping itu, Hafizul Hakim melahirkan kegusarannya terhadap perpindahan beberapa pemain utama pasukan dan berharap pihak pengurusan telah bersedia dengan perancangan mendapatkan beberapa pemain baharu bagi mengukuhkan pasukan.

Namun, penjaga gol yang telah bersama Perak sejak 2016 itu mahu penyokong berikan masa untuk pembentukkan pasukan baharu.

“Kita tidak boleh mengharapkan kesan segera dengan kehadiran pemain-pemain baharu. Projek tiga tahun menyaksikan kita memenangi Piala Malaysia 2018 dan layak ke final Piala FA pada musim 2019,” ulasnya mengenai harapannya musim depan.

Musim lalu, Perak menamatkan saingan Liga Super di tempat kelima dengan mengumpul 33 mata hasil daripada lapan kemenangan, sembilan keputusan seri dan lima kekalahan.

Kredit Featured Image: Perak TBG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram