Hafizul Hakim Mahu ‘Berehat’ Sebentar

Kali terakhir penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy beraksi untuk skuad kebangsaan adalah pada Julai 2018 ketika menang 1-0 ke atas Fiji dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.

Itu merupakan penampilan ke-9 bersama Harimau Malaya apabila masuk menggantikan Khairul Fahmi Che Mat bermula pada babak kedua dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selepas itu, pemain berusia 26 tahun itu banyak memanaskan bangku simpanan dan kemudian tidak dipanggil dalam aksi persahabatan dan juga perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Bercakap kepada New Straits Times, Hafizul Hakim dipetik berkata yang beliau hanya akan kembali ke skuad kebangsaan selepas memperbaiki prestasinya sebagaimana yang pernah dikecapinya dahulu.

Kini, Hafizul Hakim akan terlebih dahulu memberi fokus dengan tugasan di Perak dan meningkatkan semula kemampuannya untuk menjadi seperti kemunculan pertamanya bersama Perak pada 2016.

Tahun 2019, menurutnya telah memberinya banyak pengajaran selain gagal membantu Perak meraih sebarang kejuaraan malah tewas kepada Khairulazhan Khalid untuk panggilan skuad kebangsaan.

“Saya sangat berharap saya mampu mengulangi apa yang pernah saya lakukan pada awal kemunculan saya bersama Perak dahulu, kerana ia merupakan satu musim yang terbaik buat diri saya.

“Saya tidak mengharapkan akan kembali bersama skuad kebangsaan pada tahun ini. Saya perlu bekerja keras semula dan jika saya mampu bermain baik, selepas itu saya akan cuba kembali,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sasarannya pada musim ini bersama Perak adalah untuk meraih kejuaraan sama ada Piala FA atau Piala Malaysia serta memburu kedudukan lima terbaik Liga Super 2020.

Berdasarkan rekod, tahun 2017 adalah tahun terbaik dalam kariernya bersama skuad kebangsaan apabila kerap tersenarai, malah diturunkan untuk 90 minit perlawanan – empat daripada lapan perlawanan.

Kini, persaingan untuk posisi nombor satu negara itu menjadi rebutan beberapa pemain antaranya Farizal Marlias, Khairulazhan Khalid, Haziq Nadzli, Ifwat Akmal Chek Kassim dan Khairul Fahmi Che Mat.

Dengan prestasi membanggakan daripada Farizal Marlias dan Khairulazhan Khalid dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia sebelum ini, mungkin benar, Hafizul Hakim perlu menunggu lagi.

KREDIT FOTO: Perak TBG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram