Hafiz Ramdan Alami Kecederaan Patah Tulang Bahu Ketika Aksi Bertemu Kuala Lumpur

Iklan

Hafiz Ramdan

Kem PKNP FC menerima pengkhabaran kurang enak apabila pemain sayap, Mohamad Hafiz Ramdan mengalami patah tulang bahu ketika aksi perlawanan Liga Premier 2017 menentang Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.

Insiden yang berlaku pada awal babak pertama menyaksikan Hafiz bertembung dengan salah seorang pemain Kuala Lumpur yang mengakibatkan beliau terus dikeluarkan dan dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Beliau kemudiannya terus dibawa pulang ke Ipoh untuk dirujuk di Hospital Pantai Ipoh.

Hafiz telah menjalani pembedahan jam 10.30 pagi tadi bagi memasukkan besi untuk membetulkan semula tulang bahu yang telah patah.

Hafiz yang dipinjamkan dari pasukan Perak kini merupakan antara watak penting buat PKNP FC dengan keupayaan menghasilkan gol dan bantuan jaringan buat pasukan dan juga sedang berada di prestasi yang baik.

Walaupun liga akan berehat hampir 3 minggu, namun perkembangan ini pastinya menggusarkan pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim bagi terus mengekori Kuala Lumpur, Terengganu dan Negeri Sembilan dalam perebutan 2 slot ke Liga Super 2018.

Kredit foto : Arena Seladang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram