Hafiz Kamal Tekad Bantu KL Rovers Ke Liga Premier

Hafiz Kamal

Bekas pemain kebangsaan, Hafiz Kamal mahu mengubati kerinduan beraksi sebagai pemain utama bersama pasukan Liga M3, Kuala Lumpur (KL) Rovers dengan misi untuk untuk membawa pasukan itu ke Liga Premier, musim depan.

Selepas bergelut dengan kecederaan serius di bahagian lutut kiri selama satu tahun setengah sejak 2017, prestasi Hafiz tidak menentu dan hanya beberapa kali sahaja beraksi sebagai pemain gantian pada musim lalu ketika bersama PKNP FC.

Justeru, keputusan bekas pemain Pahang, Selangor dan Perak ini untuk mencuba nasib bersama pasukan M3 musim ini dilihat tepat untuk menghidupkan kembali kariernya.

Tambah Hafiz, dia tidak pernah memperkecilkan kemampuan pasukan-pasukan Liga M3 sambil menyifatkan pasukan amatur ini sentiasa menjadi buruan pemain untuk kembali mencipta nama.

“Sebenarnya saya ambil keputusan untuk bermain bersama KL Rovers untuk mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama kerana tahun lepas saya jarang beraksi.”

“Di sini, saya harap dapat memperbaiki corak permainan saya dan memang sasaran saya untuk bantu pasukan layak ke Liga Premier nanti.”

“Bagi saya, Liga M3 tetap ada nilai yang tersendiri kerana walaupun sebelum ini saya pernah bersama pasukan hebat di Liga Super dan Premier, tetapi Liga M3 boleh dilihat tetap menjadi rebutan pemain-pemain muda dan pemain senior lain juga,” ujar pemain berusia 32 tahun itu.

Hafiz Kamal akan menampilkan aksi pertamanya dalam pusingan kelayakan Piala FA 2020 pada Ahad ini apabila KL Rovers bakal menentang pasukan Klasiko FC untuk merebut slot ke pusingan pertama.

Kredit foto: Zulfachri Zulkifli / www.asiana.my

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram