Hadi Fayyadh Mahu Pulihkan Semula Prestasinya Dengan Fagiano Okayama

Hasrat skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) untuk beraksi dalam saingan AFC B-23 di Thailand tahun depan berkubur selepas mereka terikat 2-2 dengan China di Stadium Shah Alam, semalam.

Penyerang skuad negara, Hadi fayyadh menjelaskan beliau dan rakan sepasukan sudah berusaha sehabis baik cuma rezeki belum berpihak pada mereka.

“Saya bangga dengan rakan sepasukan yang memberikan 100 peratus dalam perlawanan ini. Sekurang-kurangnya kita tak kalah, cuma rezeki tidak berpihak kepada kita walaupun sudah mendahului dua kali,” katanya dalam Sukan Sinar.

FOTO: FAM

Malah, prestasi Hadi Fayyadh sepanjang kempen kelayakan juga sering dipersoalkan oleh penyokong bola sepak tempatan kerana gagal menyudahkan beberapa peluang keemasan ketika menentang Filipina.

Hadi bagaimanapun mengakui beliau sememangnya tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkannya dan tekad untuk kembalikan semula prestasi terbaiknya selepas pulang ke Jepun nanti.

“Sebagai penyerang, memang saya tak puas hatilah dengan prestasi. Tapi saya tahu saya boleh buat lebih baik lagi.

“Lagi pun, sebagai pemain memang setiap orang ada kelebihan dan kekurangan. InsyaALLAH saya akan perbaiki mana yang kurang di masa akan datang,” katanya.

Selepas ini, Hadi akan kembali menyertai kelab Fagiano Okayama bagi menghadapi saingan J-League divisyen 2 dimana beliau mahu memberi tumpuan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Namun begitu, Hadi membayangkan akan terus memperkuatkan pasukan kebangsaan dalam kejohanan yang akan datang sama ada dalam skuad senior atau bawah 23 jika mendapat panggilan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Jika diberi peluang, InsyaALLAH saya akan bersama pasukan. Buat masa ini saya mahu fokus kepada aksi di kelab (Fagiano Okayama) terlebih dahulu kerana saya mahu mendapat tempat dalam pasukan.

“Kejohanan akan datang (Sukan Sea Filipina) masih jauh lagi, jadi saya percaya tiada apa yang perlu dikejar dan saya akan berusaha fokus untuk mengembalikan prestasi terbaik saya terlebih dahulu,” katanya lagi.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply