Guti: Permata Berharga Yang Dibayangi Himpunan Bintang Real Madrid

Guti

Aura dimiliki Guti ketika kariernya mungkin tidak sehebat himpunan bekas pemain bintang di posisi tengah yang pernah dimiliki Real Madrid seperti Zinedine Zidane, Luis Figo, David Beckham dan Kaka, sekadar menyebut pemain seangkatan zamannya.

Namun, sumbangan yang diberikan oleh pemilik nama sebenar Jose Maria Gutierrez Hernandez itu buat Real Madrid juga tidak boleh dipandang sepi susulan aksi cemerlang dipamerkannya sewaktu menyarung jersi keramat skuad Los Blancos.

Anak kelahiran Torrejon de Ardoz, sebuah bandar yang hanya 20 kilometer daripada Santiago Bernabeu itu memiliki pakej lengkap sebagai seorang pemain tengah kreatif dengan kemampuan melakukan ‘killer pass’ buat rakan sepasukannya.

Selain itu, gerak kakinya yang memukau turut menjadi senjata tambahan buat Guti dalam meletakkan beliau sebagai antara nadi penting buat Real Madrid ketika era Galacticos.

Tidak keterlaluan untuk memperkatakan bahawa Guti adalah merupakan wira yang tak didendang dalam kem Real Madrid pada ketika itu.

Karier hebatnya di Los Blancos menyaksikan beliau telah membuat 542 penampilan dengan menghasilkan 77 gol serta mencipta 90 bantuan jaringan dalam semua pertandingan disertai.

Embed from Getty Images

Seorang Madridista sejati

Dilahirkan pada 31 Oktober 1976, Guti sememangnya merupakan Madridista sejati apabila beliau mula menyertai Akademi Real Madrid sejak berusia 10 tahun [1986].

Dengan visi, kualiti hantaran, kegigihan dan segala yang dipamerkannya, jurulatih akademi Real Madrid melihat Guti mampu untuk berperanan sebagai pemain tengah meskipun pada mulanya beliau adalah seorang penyerang.

Seperti pemain bola sepak yang lain, perjalanan panjang di peringkat akademi dihadapi dengan penuh kesabaran bagi membolehkan impian untuk menyertai skuad utama terlaksana.

Menjadi graduan akademi pada tahun 1994, beliau berjaya menembusi skuad C Real Madrid dan hanya selepas semusim, Guti dinaikkan pangkat ke Real Madrid B bagi menghadapi musim 1995/96.

Valdano beri peluang buat penampilan sulung La Liga

Peluang membarisi pasukan Real Madrid B digunakan sepenuhnya oleh Guti untuk membuktikan kualiti yang dimiliki beliau sehingga membuatkan pengendali skuad utama ketika itu, Jorge Valdano untuk memberikan pendedahan buatnya dalam saingan liga tertinggi Sepanyol, La Liga.

Penampilan sulungnya dalam kempen La Liga adalah pada 2 Disember 1995 apabila Guti dimasukkan pada minit ke-60 bagi menggantikan Jose Amavisca ketika Real Madrid menumpaskan Sevilla 4-1 di Santiago Bernabeu. Ketika itu beliau baru berusia 19 tahun.

Embed from Getty Images

Pada musim tersebut, Guti telah diberikan peluang untuk membuat penampilan dalam sembilan perlawanan dan turut berjaya menjaringkan satu gol dalam aksi La Liga.

Sebaik sahaja tamat musim, beliau diserapkan secara terus ke pasukan utama sekaligus mendapat peluang beraksi bersama bintang-bintang pasukan seperti Raul Gonzalez, Clarence Seedorf, Davor Suker, Fernando Hierro dan ramai lagi.

Musim 1998/99 pencetus

Musim 1996/97 dan 1997/98 jelas menjadi medan buat Guti dalam meningkatkan keyakinannya untuk bersaing dengan rakan sepasukan yang lebih senior di mana beliau telah membuat 39 penampilan secara keseluruhan dalam semua pertandingan pada dua musim tersebut.

Lebih manis, beliau turut menganggotai skuad Real Madrid yang berjaya menjuarai Liga Juara-Juara Eropah 1997/98.

Musim berikutnya menyaksikan beliau sudah mula memenangi hati pengurus ketika itu, Guus Hiddink yang kemudiannya digantikan dengan John Toshack untuk memberikan lebih minit permainan.

Selepas daripada itu, Guti sentiasa menjadi tonggak jentera tengah Real Madrid meskipun terdapat para pemain bintang dan pengurus yang silih berganti menyertai kelab tersebut.

Walaupun berdepan sedikit masalah dengan Manuel Pellegrini pada musim terakhirnya di Santiago Bernabeu, Guti masih mampu untuk membuat 30 penampilan dalam semua pertandingan.

Selepas 24 tahun ‘menghambakan diri’ bersama Real Madrid, Guti akhirnya memilih untuk berhijrah ke Besiktas pada musim 2010/11.

Juga merupakan penyerang yang baik

Meskipun ramai mengetahui bahawa Guti begitu mempesonakan ketika beraksi sebagai pemain tengah, beliau juga sebenarnya memiliki kualiti penyudah yang cukup baik.

Hal ini dibuktikan apabila berlakunya krisis kecederaan yang dihadapi Real Madrid susulan kecederaan Fernando Morientes sehingga membuatkan pengurus pasukan, Vicente Del Bosque memberikan peranan tersebut buat Guti.

Kepercayaan itu dibalas oleh Guti apabila berjaya meledakkan 14 gol pada musim 2000/01 yang mana Real Madrid turut bergelar juara La Liga dan turut menambah empat lagi jaringan dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah.

Embed from Getty Images

Pelbagai kejayaan dikecapi bersama Los Blancos

15 musim bersama skuad utama Real Madrid, Guti telah menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah sebanyak tiga kali [1997/98, 1999/00, 2001/02] dan menikmati kejuaraan La Liga bagi musim 1996/97, 2000/01, 2002/03, 2006/07 dan 2007/08.

Selain itu beberapa lagi kejuaraan yang dimenangi Guti bersama Real Madrid seperti Supercopa de Espana 1997, 2001, 2003 dan 2008 serta UEFA Super Cup 2002.

Kurang bernasib baik bersama skuad kebangsaan

Awan mendung bagaimanapun menyelubungi karier Guti di pentas antarabangsa apabila beliau hanya mampu membuat 13 penampilan kerana persaingan untuk merebut tempat bersama La Rojas lebih besar.

Ini kerana pemain-pemain seperti Luis Enrique, Juan Valeron, Xavi dan Gaizka Mendieta lebih menjadi pilihan pengurus skuad kebangsaan Sepanyol pada ketika itu.

Di mana Guti ketika ini?

Selepas mengumumkan persaraannya dari pentas bola sepak pada 21 September 2012, Guti dilantik sebagai jurulatih skuad remaja Real Madrid bermula 2013 hingga 2018.

Beliau kemudiannya kembali ke Besiktas untuk menjadi pembantu kepada Senol Gunes dan yang terbaharu, Guti sedang menggalas tanggungjawab sebagai pengurus Almeria yang kini beraksi dalam saingan Liga Segunda.

Kredit featured image: Etsuo Hara/Getty Images

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN