Gustavo Almeida Dah ‘Gatal Kaki’ Nak Bersamba Dengan UiTM

Kerjasama Semuanya BOLA

UiTM Gustavo Almeida

UiTM FC mungkin dianggap sebagai ‘pasukan kerdil’ memandangkan mereka merupakan pendatang baharu Liga Super dan cuma bertaraf pasukan universiti. Tetapi penggempur utama pasukan, Gustavo Almeida tidak pernah peduli dengan status tersebut.

Pemain kelahiran Brazil itu baru berusia 23 tahun dalam musim pertamanya di saingan Liga Malaysia (Liga-M), tetapi setelah empat perlawanan berlangsung, beliau telah pun membuktikan kualitinya dengan sudah menjaringkan dua gol ketika berdepan Kedah dan PDRM.

Gandingannya bersama beberapa awang import lain yang terdiri daripada dua pemain Perancis, Victor Nirennold dan Ousmane Fane, perancang tengah Filipina, Mark Hartmann dan pemain sayap lincah dari Lebanon, Rabih Ataya telah mula menunjukkan keserasian.

Dibimbing oleh seorang jurulatih yang diakui mempunyai profil yang cukup baik iaitu bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan bawak 19 tahun (B-19), Frank Bernhardt, UiTM menjadi pasukan yang perlu diberi perhatian oleh setiap pasukan.

Skuad The Lion Troopers itu kini sedang menduduki tangga ke-9 dengan empat mata sebelum saingan Liga-M ditangguhkan bermula pertengahan Mac lalu. Namun Gustavo mengakui beliau kini sudah tidak sabar untuk kembali ‘bersamba’ di atas padang.

“Ya, sudah tentu saya mahu saingan liga kembali berlangsung secepat mungkin kerana sudah beberapa bulan tanpa bola sepak saya rasa sangat teruk.

Sekarang kita dapat tahu yang penganjur liga [MFL) sudah merancang untuk kembali menyambungnya, jadi semua pemain seharusnya bersedia untuk kembali beraksi.” katanya ketika ditemubual oleh The Star.

Ditanya mengenai kehidupannya di Malaysia dan beberapa bulan bersama pasukan bertaraf universiti itu, pemain tersebut mengakui beliau selesa.

“Setakat ini, saya gembira bersama UiTM kerana kami begitu rapat seperti sebuah keluarga. Sebagai pemain asing, saya dilayan dengan baik dan mendapat rakan-rakan baharu. Malah saya mendapat nilai persahabatan yang cukup berharga di sini.

“Kami mempunyai peranan dan tugasan yang berbeza dalam pasukan, tetapi matlamat kami sama sahaja, iaitu membawa kejayaan dan mengharumkan nama kelab.

Selepas sebulan menjalani latihan secara tertutup di rumah, Gustavo mengatakan beliau sangat lega apabila kerajaan telah membenarkan orang ramai menjalankan aktiviti sukan tertentu di luar rumah.

Posted by UiTM FC on Monday, 16 March 2020

Peluang segera diambil Gustavo untuk keluar berjoging setiap hari sama ada seorang diri ataupun bersama satu atau dua rakannya di kawasan berdekatan rumahnya.

“Saya senang hari dapat keluar kerana ‘terperap’ terlalu lama di dalam rumah sangat agak sukar kerana ruang yang terhad berbanding membuat latihan kecergasan di luar.

“Apabila kamu berada di luar, ada sedikit rasa seperti ‘bebas’, perasaan itu amat penting bagi pemain bola sepak.

“Apabila sesi latihan bersambung nanti, saya akan membantu rakan sepasukan yang lain dengan sebaik mungkin bagi meningkatkan lagi corak permainan pasukan.”

Kredit Foto: UiTM FC

Baca juga artikel kami yang lain mengenai UiTM FC:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram