Guilherme de Paula Dedah Perbezaan Pertahanan Liga Super Dengan Liga Premier

Dengan 4 gol dalam 2 perlawanan terakhir 100Plus Liga Premier 2017, Guilherme de Paula sedang selesa mendahului carta penjaring gol terbanyak liga dengan 20 gol daripada 16 perlawanan.

Ketika kami tanya apakah beliau menjangka akan menjadi penjaring gol terbanyak liga pada awal musim, penyerang kelahiran Brazil ini menjawab, “Ya. Kerana saya sentiasa percaya dengan kebolehan saya sendiri.”

“Tetapi matlamat Kuala Lumpur untuk naik ke Liga Super jauh lebih penting daripada pencapaian peribadi saya,” sambung de Paula lagi.

Penyerang angkuh?

Jika anda pernah menyaksikan aksi beliau bersama Kuala Lumpur di kempen 100Plus Liga Premier 2017, anda akan perasan satu perkara – de Paula beraksi seperti penyerang bintang.

Lagak beliau di atas padang tidak keterlaluan kami katakan seperti Zlatan Ibrahimovic. Beliau teguh berdiri walaupun diasak 2 pertahanan tengah. Susuk tubuhnya yang tegap membuatkan beliau sukar dibuli pertahanan secara fizikal.

Kredit: Goal.com

Sekali-sekala beliau mempamerkan skil backheel pass seperti yang dilakukannya ketika membantu gol Paulo Josue ketika menewaskan Negeri Sembilan 3-2.

De Paula jarang berlari di atas padang. Sehinggakan ada penyokong neutral yang menganggapnya ‘diva’ atau angkuh. Tetapi apabila beliau berlari, ia bermakna satu perkara – beliau menghidu gol.

Lantik pakar nutrisi sendiri

Menemuramahnya secara peribadi, kami tak dapat mengelak untuk bertanya soalan bagaimana beliau mampu membina dan mengekalkan fizik tubuh badan yang tegap seperti dimilikinya.

“Oh, ini inisiatif saya sendiri. Saya gunakan gaji saya untuk lantik pakar nutrisi saya sendiri. Namanya Victor (gambar bawah). Beliau juga orang Brazil macam saya.”

Kredit: Guilherme de Paula

Selain berdisiplin di gimnasium, de Paula turut mendedahkan diet yang beliau ambil hasil nasihat Victor sehingga menjadi salah seorang penyerang terbaik di Malaysia pada musim ini.

“Saya makan 6 kali sehari. Ketika tiada perlawanan, diet saya mengandungi karbohidrat yang rendah, sayur-sayuran dan banyak protein dari ikan, salmon dan daging. Saya juga banyak minum air dan mengambil pil tambahan.”

“Ketika hari perlawanan, barulah saya ambil lebih banyak karbohidrat. Kentang manis dan avocado adalah kesukaan saya. Kemudian saya tak mengambil alkohol dan tak hisap rokok.”

Mendengar jawapan de Paula, kami tertanya-tanya: berapa ramai pemain tempatan yang mengamalkan disiplin diet yang sama?

Perbezaan pertahanan Liga Super dengan Liga Premier

Masuk tahun ini, sudah 3 musim Guilherme de Paula berkelana di Malaysia. Destinasi pertamanya adalah Selangor – pasukan yang beliau bantu untuk muncul juara Piala Malaysia 2015. Selepas Selangor, beliau berhijrah ke PDRM FA sebelum kini di Kuala Lumpur.

“Bermain di Selangor merupakan memori indah. Walaupun saya tak banyak menjaringkan gol, saya tetap gembira kerana matlamat pasukan untuk menang piala tercapai.”

Kami tanya lagi, “Kenapa anda tak dapat menjaringkan banyak gol di Selangor?”

“Tekanan daripada peminat Selangor lebih besar. Lagipun itu tahun pertama saya bermain di Malaysia. Jadi mungkin itu penyebabnya.”

“Tapi gol terbaik yang pernah saya jaringkan dalam karier saya adalah ketika bersama Selangor. Separuh akhir Piala Malaysia 2015 menentang Pahang di Shah Alam.”

Kami pancing beliau dengan soalan susulan, “Apakah ada perbezaan antara pertahanan Liga Super dengan Liga Premier?”

“Di Liga Super, pasukan cenderung meletakkan pemain pertahanan yang berpengalaman. Tetapi di Liga Premier, pasukan banyak meletakkan pemain pertahanan muda yang tak berpengalaman. Saya rasa inilah perbezaannya.”

Photo by Muhammad Syamil Naim / www.asiana.my

Harap penyokong KL turun Selayang

Ketika ini Kuala Lumpur sedang mendahului 100Plus Liga Premier 2017 dengan kelebihan 1 mata di atas Terengganu. Aksi liga pula berbaki 6 perlawanan sahaja lagi.

Kredit: Football Malaysia LLP

Jika ada masa terbaik bagi Kuala Lumpur untuk mengekalkan prestasi terbaik supaya dipromosi ke Liga Super, sekaranglah masanya. Tugas tersebut bermula esok di Stadium Selayang apabila Kuala Lumpur melayan kunjungan Terengganu.

“Setiap kali sebelum perlawanan saya sentiasa menelefon ibu saya di Brazil. Kemudian saya berdoa supaya tiada pemain mendapat kecederaan serius. Esok saya akan hubungi ibu saya dan minta beliau doa supaya KL menang,” kata de Paula lagi.

Kredit: Guilherme de Paula

Beliau juga menyeru penyokong-penyokong The City Boys supaya turun memberikan sokongan kepada pemain-pemain dalam saat genting ini.

“Saya seru anda semua supaya turun memberikan sokongan kepada kami dalam 6 perlawanan terakhir ini.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN