Quantcast

BERITA

Guardiola Tak Peduli Rekod Buruk Manchester City Di Anfield

Pep Gurdiola sama sekali tidak mahu menjadikan rekod buruk Manchester City di Anfield sebagai penghalang untuk pasukannya mencatat kemenangan ke atas Liverpool bagi mengurangkan jurang mata antara kedua pasukan pada Ahad.

Sekiranya Liverpool berjaya mencatatkan kemenangan di tempat sendiri, mereka akan menjarakkan kedudukan kepada sembilan mata. Namun rekod pertemuan kedua pasukan di Anfield menyaksikan Manchester City hanya pernah menang sekali sahaja di gelanggang keramat itu sejak tahun 1981.

“Berkenaan statistik itu, saya tidak percaya ianya memberi kesan kepada pasukan saya. Sebagai rekod ianya OK, tetapi saya lebih memikirkan apa yang kami perlu lakukan untuk mengalahkan mereka.” kata Guardiola kepada BBC.

Satu-satunya kemenangan City di Anfield dalam tempoh 38 tahun ialah pada Mei 2003 di mana mereka mencatat kemenangan 2-1 dalam saingan Piala FA hasil dua jaringan dari Nicolas Anelka.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah pada Januari tahun ini di Stadium Etihad yang menyaksikan Manchester City menang 2-1 dan ianya adalah satu-satunya kekalahan Liverpool pada musim lepas.

Rakan sejawat Guardiola, Jurgen Klopp berkata, beliau tidaklah gentar kepada City tetapi menghormati kemampuan mereka.

“Saya tidak fikir tentang pasukan City beberapa tahun yang lepas, tetapi saya sedang melihat pasukan City yang sekarang. Pada saya ianya sudah cukup bagus untuk sebuah perlawanan yang menarik.

“Watak pasukan berkenaan dan pengurusnya bagus, tetapi kombinasi kelajuan dan teknikal adalah lebih penting dalam bola sepak,” kata pengurus berasal dari Jerman itu.

Sementara itu, penyerang City, Sergio Aguero berkata rakan sepasukannya sudah bersedia untuk berjuang sehingga titisan darah yang terakhir untuk memastikan misi mempertahankan kejuaraan berjaya.

“Musim ini kami tidak bermula seperti yang sepatutnya dan ada beberapa keputusan yang menyaksikan kami gagal menepati sasaran,” katanya yang merujuk kepada dua kekalahan dan satu seri.

“Kini jalan yang sedang kami lalui ada sedikit halangan, sudah tentunya ianya tidak mudah, tetapi siapa kata ianya tidak boleh diatasi?

“Kami perlu percaya kepada kemampuan kami dan berusaha melakukan yang terbaik dan seperti biasa, berjuang hingga minit terakhir.”

City akan bermain tanpa penjaga gol utama Ederson dan akan digantikan dengan Claudio Bravo yang akan bermain dalam perlawanan EPL pertamanya dalam sejak 18 bulan lepas. David Silva, Rodri, Oleksandr Zinchenko, Leroy Sane dan Aymeric Laporte juga masih dalam senarai kecederaan.

Klopp pula tidak berdepan sebarang masalah kerana semua pemain utamanya bersedia diturunkan untuk mencatat kemenangan ke-12 dari 13 aksi liga dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah.

Pengendali The Reds itu berkata, kecederaan beberapa pemain utama City tidak akan menjejaskan pasukan itu kerana mereka mempunyai skuad yang serba lengkap dengan dua atau tiga pemain berkualiti di setiap posisi.

“Kita semua akan hadapi masalah. Tahun lepas [Kevin] De Bruyne, salah seorang pemain tengah terbaik di dunia tidak dapat bermain ketika mereka berdepan kami, tetapi mereka masih mampu mencatat kemenangan. Itu menunjukkan kualiti yang mereka ada.

“Kita semua perlu bersedia dengan pemain yang boleh menggantikan pemain yang cedera dan mereka tentunya akan berikan yang terbaik.

“Saya bukan mahu membandingkan dengan pasukan pada tahun lepas, ianya adalah untuk melihat bagaimana mereka mampu berhadapan dengan situasi [kecederran itu] dan hasilnya amat memberangsangkan.”