Guardiola Mungkin Suruh Ederson Ambil Penalti Selepas Ini

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mungkin akan meminta penjaga gol beliau iaitu Ederson Moraes untuk mengambil sepakan penalti untuk pasukannya selepas ini.

Bercakap kepada media selepas kemenangan Manchester City ke atas Sheffield United dengan jaringan 1-0 di Bramall Lane, Guardiola berseloroh untuk memilih penjaga gol itu untuk mengambil sepakan dari 12 meter tersebut.

“Ederson adalah yang terbaik. Percayalah, beliau adalah yang terbaik untuk mengambil sepakan penalti.”

Guardiola berkata demikian selepas Gabriel Jesus gagal menyempurnakan sepakan penalti, sekali gus menambahkan lagi rekod buruk Manchester City dari 12 meter.

Sebelum ini, Sergio Aguero dan Raheem Sterling juga beberapa kali gagal menyempurnakan sepakan penalti untuk Manchester City pada musim ini.

“Kita perlu lihat semula dalam hal ini [sepakan penalti]. Saya selalu berikan keyakinan kepada pemain untuk mengambilnya tetapi saya juga perlu lihat semula keputusan saya dalam menentukan siapa akan ambil sepakan penalti.”

“Sergio Aguero sudah gagal sempurnakan dua sepakan penalti, Raheem Sterling juga telah gagal satu setengah sepakan penalti. Pada tahap ini, kita tidak selamat. Penelitian pada tahap ini amat penting untuk dapatkan hasil yang berbeza.”

Manchester City menang dengan jaringan 1-0 hasil gol daripada Aguero pada minit ke-73.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram