Guardiola Cadang Format Perlawanan Ulangan Piala FA Diubah

Pep Guardiola berkata mengubah format pertandingan Piala FA tanpa perlawanan ulangan mungkin adalah kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah jadual perlawanan yang padat di kalangan kelab Liga Inggeris.

Pengurus Manchester City tersebut sebelum ini pernah melahirkan kebimbangan beliau terhadap keadaan pemain yang terpaksa mengharung jumlah perlawanan yang banyak.

Perlawanan Piala FA menentang Fulham pada Ahad akan datang misalnya adalah perlawanan yang ke-37 untuk Manchester City pada musim ini.

“Piala Carabao dan Piala FA akan berlangsung. Tetapi mungkin kita boleh membatalkan perlawanan ulangan, memiliki pasukan [bertanding] yang lebih sedikit di Championship atau Liga Perdana Inggeris,” kata Guardiola.

“Apa yang menarik mengenai negara ini ialah bagaimana anda meneruskan tradisi. Dalam [mengekalkan] tradisi, anda boleh memasukkan beberapa perkara baharu untuk menjadikan pertandingan itu lebih menarik.

“Ia boleh dilakukan bukan sahaja di dalam sukan tetapi juga di dalam komuniti dan budaya, dan ia amat bagus. Saya amat sukakan itu.

“Saya mahu berkata jujur dan menjawab soalan [anda] tanpa memikirkan mengenai apa yang mereka [penganjur] harus lakukan. Ia bukan urusan saya. Urusan saya ialah untuk mempersiapkan pasukan.

“Saya tidak berkata [memberitahu] apa yang FA harus lakukan. Komen saya tidak bermakna Piala Carabao atau Piala FA tidak harus diadakan.

“Apabila mereka [penganjur] memutuskan untuk kami bermain [semua] perlawanan ini, maka kami tetap harus lakukannya.”

Secara matematik, Manchester City masih lagi bersaing di dalam semua empat pertandingan pada musim ini. Namun demikian City kini ketinggalan 16 mata kepada pendahulu Liverpool dengan kelebihan satu perlawanan.

Sehingga kini, skuad kendalian Jurgen Klopp hanya keciciran dua mata sepanjang musim ini, dan berada di landasan terbaik memecahkan rekod 100 mata yang diperolehi City dua tahun yang lalu.

“Ia boleh berlaku. Rekod sememangnya untuk dipecahkan,” kata Gurdiola lagi.

“Kami telah melakukannya sebelum ini apabila orang lain berkata ia mustahil untuk dilakukan.

“Lambat laun ia akan berlaku juga – musim ini atau akan datang. Sejarah telah membuktikannya sebelum ini.”

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply