Graduan AMD Yang Menyertai Selangor Berpeluang Sambung Pengajian Di UiTM, UNISEL

Tidak hanya mementingkan kejayaan dalam bola sepak semata-mata, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) turut membuka peluang kepada graduan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) yang menyertai pasukan itu untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Oleh yang demikian, semua 28 orang bekas pelatih akademi elit itu bukan sahaja berpeluang untuk mengembangkan karier mereka sebagai pemain bola sepak profesional, tetapi mereka juga diberi pilihan untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Memetik laporan berita Selangor Kini, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidun menjelaskan pasukan itu sudah pun memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak tahun lalu.

Pihaknya percaya kerjasama itu merupakan perkembangan positi kepada pembangunan bola sepak Selangor kerana ianya membolehkan pemain muda dan pelatih akademi bola sepak negeri itu mengikuti pengajian yang bersesuaian seperti bidang Sains Sukan dan Rekreasi, Perubatan serta Sains Kesihatan.

“FAS telah tandatangani MoU dengan UiTM termasuk perkembangan akademi juga kita ada bincangkan.

“Kita masih ada masa lagi kerana pengambilan pelajar seterusnya biasanya berlangsung pada bulan September,” katanya.

Dalam masa yang sama, Dr. Johan memaklumkan FAS juga sedang merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan Universiti Selangor (UNISEL) memandangkan institusi pengajian tinggi swasta itu adalah milik kerajaan negeri Selangor.

“Insya Allah tiada masalah kerjasama dengan UNISEL, lebih-lebih lagi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sentiasa memberi sokongan padu terhadap usaha FAS termasuk meningkatkan pencapaian pemain dalam padang dan juga akademi,” katanya.

Tambah Dr. Johan lagi, sains sukan terbukti antara aspek terpenting bagi mencipta kejayaan dalam bidang sukan dan di peringkat antarabangsa ia diguna pakai secara meluas bagi tujuan itu.

Mohd Bunyamin Umar adalah di antara pemain yang pernah melanjutkan pengajian ketika masih menyarung jersi Selangor. Beliau mengambil pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) di Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula pada 2009 dan bergraduasi pada 2014.

Kredit Foto: Safirul Abu Bakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram