MSL 2018: 2 Gol Gopinathan Bantu Melaka Menang 4-1 Ke Atas Kedah

Melaka United berjaya merekodkan kemenangan selesa ke atas Kedah di halaman sendiri dengan keputusan 4-1 dalam aksi ke-18 saingan unifi Liga Super 2018.

Ini merupakan kemenangan ke-4 mereka di Stadium Hang Jebat selepas kali terakhir melakukannya dalam saingan liga pada pertengahan Mac lalu ketika menewaskan PKNP FC.

Melaka selaku tuan rumah dilihat menyenaraikan gandingan sensasi, Lee Chang Hoon dan Ifedayo Olusegun untuk menggerakkan jentera serangan.

Kedah pula turun tanpa Liridon Krasniqi yang cedera dan Sandro yang masih dalam proses pemulihan menyaksikan Halim Saari kembali dalam kesebelasan utama pasukan.

Separuh masa pertama

Dua gol pantas Melaka pada minit ke-34 dan 38 di saat Kedah menguasai perlawanan membolehkan tuan rumah mendahului aksi babak pertama dengan kedudukan 2-0.

Di awal babak pertama, kedua-dua pasukan dilihat saling mengasak ke kubu lawan dengan Kedah lebih dominan walaupun tiada percubaan ke gawang dapat dilancarkan.

Minit ke-9, tandukan Paulo Rangel hanya singgah di palang gol tuan rumah yang dikawal oleh Khairul Fahmi Che Mat. Ia adalah percubaan pertama sepanjang perlawanan berlangsung.

Pasukan pelawat kelihatan menggunakan kedua-dua pemain sayap mereka iaitu Andik Vermansyah dan Syazwan Zainon untuk memulakan serangan pantas ke kawasan gol lawan.

Untuk Melaka pula, serangan mereka banyak tersekat sebelum tiba ke defensive third Kedah. Jentera tengah mereka dilihat tenggelam dengan penguasaan penuh oleh pasukan pelawat.

Larian pantas S. Chanturu berjaya memecah masuk di sebelah kiri benteng sebelum membuat hantaran ke depan pintu gol Kedah, namun sentuhan Chang Hoon tersasar di minit ke-16.

Minit ke-26, tindakan solo Rangel melepasi dua pertahanan disudahi dengan percubaan tidak tepat. Kedah tidak berhenti mengasak Melaka bermula dari minit ke-24.

Melaka akhirnya berjaya memecah kebuntuan hasil kesilapan pertahanan Kedah, Syawal Nordin yang terlepas kawalan bola seterusnya disudahkan oleh Khair Jones di minit ke-34.

Gol Khair Jones itu merupakan percubaan tepat pertama oleh tuan rumah ke gawang lawan. Kejutan buat benteng pertahanan pelawat yang dilihat terleka dek kerana kurang diuji.

Minit 38, gawang Kedah bocor lagi. Satu larian cantik R. Gopinathan berjaya melepasi perangkap offside lawan seterusnya menewaskan penjaga gol, Ramdhan Hamid.

Gopinathan berjaya menewaskan penjaga gol pelawat itu dengan rembatan leret ke sisi kiri gol dan ianya merupakan gol ketiga peribadinya sepanjang musim ini.

Percubaan tepat pertama Kedah ke pintu gol tuan rumah hadir di penghujung babak pertama hasil sepakan percuma yang diambil oleh pemain tengah merangkap kapten, Baddrol Bakhtiar.

Separuh masa kedua

Kedah meneruskan penguasaan perlawanan dan walaupun memiliki sentuhan hantaran yang baik, mereka dilihat tiada keinginan untuk mencabar Khairul Fahmi di gawang.

Rangel dijatuhkan oleh Khair Jones dan menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan pelawat. Dia tenang menyudahkannya untuk gol pertama Kedah pada minit ke-53.

Dia kini telah berjaya meledak lima gol dalam lima perlawanan berturut-turut dan merupakan gol penalti keduanya selepas menyertai Kedah di jendela perpindahan yang lalu.

Minit ke-58, Baddrol melakukan satu aksi akrobatik di depan gol lawan namun penjaga gol, Khairul Fahmi berjaya menyelamatkan percubaan tersebut tanpa sebarang masalah.

Gopinathan sekali lagi berjaya meledak gol hasil umpanan Olusegun pada minit ke-62. Melaka menggunakan ketiga-tiga percubaan tepat mereka untuk menghasilkan gol.

Melaka semakin garang selepas mendahului perlawanan dengan beberapa siri asakan ke gawang lawan antaranya percubaan jarak jauh Chanturu di minit ke-78 yang tersasar.

10 minit menuju masa penamat, pemain sayap, Andik berjaya melepaskan satu rembatan padu dari luar kotak penalti namun berjaya ditepis keluar oleh Khairul Fahmi.

Olusegun berjaya melengkapkan malam cemerlang Melaka dengan gol ke-4 buat tuan rumah pada minit ke-84 hasil rembatan padunya dari jarak jauh mengegar gawang pelawat.

Sehingga kini, dia telah menjaringkan enam gol dari lima penampilan bersama Melaka. Dia turut membuat dua bantuan gol sepanjang perlawanan malam ini.

Perlawanan tamat dengan Kedah tumbang mengejut kepada Melaka dengan keputusan 1-4. Ini merupakan kekalahan ke-6 mereka dan kali ke-5 direkodkan di tempat lawan.

Selepas empat penampilannya, ini merupakan kali pertama Ramdhan melepaskan empat gol dalam satu perlawanan selepas merekodkan clean sheet ketika menewaskan PKNS FC.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN