Tiada Lagi Ejekan ‘Planet Pluto’, Jaringan Safawi Antara 5 Gol Tercantik Minggu 7 MSL 2019

Minggu ke-7 Liga Super Malaysia (MSL) telah pun berlangsung. Tiga perlawanan diadakan pada Jumaat, tiga lagi berlangsung pada Sabtu – melengkapkan enam perlawanan pada minggu ini.

12 gol telah dihasilkan sepanjang hujung minggu lalu daripada enam venue perlawanan. Tidak terkecuali, beberapa jaringan cantik turut dihasilkan, dan lima daripada jaringan tersebut kami senaraikan sebagai gol tercantik untuk minggu ini.

Pemilihan kami adalah gol yang bersih dan bukan ‘fluke’. Contohnya terbias di kaki pemain lain ataupun kerana kesilapan penjaga gol yang melepaskan bola. Ianya juga mengambil kira bagaimana gol tersebut dihasilkan secara teknikal.

5. Fernando Rodriguez vs JDT

Ketinggalan satu gol di tempat sendiri seawal minit ke-10 perlawanan, bukanlah permulaan yang Kedah inginkan dalam perlawanan yang dianggap tumpuan dan panas menentang JDT.

Tandukan Fernando Rodriguez – juga dihasilkan pada babak pertama perlawanan – berjaya mengikat juara bertahan Liga Super itu menuju babak kedua. Bermula dengan sepakan penjuru yang menyebabkan situasi kelam kabut di hadapan gol, tandukan lambung Rodriguez tidak memberi peluang langsung kepada Farizal Marlias.

4. Faisal Halim vs Felda United

Faisal Halim merupakan pemain gantian di dalam perlawanan ini, dan beliau memberikan Dollah Salleh apa yang Pahang perlukan. Ketika kedudukan 2-1 memihak kepada skuad Tok Gajah, Felda United menguasai perlawanan dalam usaha memburu gol penyamaan.

Bermula dengan serangan balas pantas yang bermula di bahagian tengah, larian Faisal memerangkap pertahanan The Fighters, sebelum kemas menyempurnakan hantaran rakan sepasukan untuk mengesahkan Pahang kembali ke puncak Liga Super.

3. G. Mugenthirran vs Kuala Lumpur

PKNP FC akhirnya berjaya mencatat kemenangan pertama pada musim ini dengan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Kuala Lumpur. Sekurang-kurangnya kemenangan tersebut berjaya menyuntik keyakinan kepada anak buah Abu Bakar Fadzim – walaupun masih dalam bahaya kerana belum keluar dari zon penyingkiran.

Selepas Yashir Pinto meletakkan PKNP FC di hadapan, giliran G. Mugenthirran pula melebarkan pendahuluan pada babak pertama perlawanan. Jaringan tersebut dilakukan dengan keyakinan oleh bekas pemain Perak ini. Menggunakan kaki kiri, beliau merembat deras bola ke far-post, sekaligus mematikan langkah Sharbinee Alawee di hadapan gawang.

2. Safawi Rasid vs Kedah FA

Kita semua tahu kebolehan Safawi Rasid untuk menjaringkan gol dari situasi bola mati. Dalam perlawanan menentang Kedah, Safawi sekali lagi membuktikan kemampuan tersebut di hadapan puluhan ribu penyokong di Stadium Darul Aman untuk memberikan JDT pendahuluan.

Pernah dikritik dengan ‘rembatan ke Planet Pluto’, Safawi pernah mendedahkan aspek penyudah termasuk dari sepakan percuma adalah antara latihan tambahan yang beliau tekankan. Jaringan menentang Kedah bukanlah antara jaringan sepakan percuma tercantik yang pernah dihasilkan oleh beliau. Tetapi ia jelas hasil usaha gigih pemain tersebut yang sentiasa mahu memperbaiki teknik dan memajukan diri.

1. Giancarlo Rodriguez vs Kuala Lumpur

Skil, imaginasi, teknik, dan diikuti oleh penyudah yang meyakinkan. Demikianlah ungkapan terbaik untuk menggambarkan gol tercantik minggu ke-7 Liga Super Malaysia jaringan Giancarlo Rodriguez.

Sentuhan pertama oleh Rodriguez ialah untuk melepaskan diri dari hadangan pemain lawan. Sentuhan kedua bertujuan untuk melakukan kawalan terhadap bola. Ia diikuti oleh rembatan deras kaki kiri meyakinkan yang tidak memberi peluang kepada penjaga gol lawan.

Rumusan

Anda mempunyai pilihan lain untuk jaringan tercantik minggu ke-7 unifi Liga Super Malaysia 2019? Nyatakan pendapat anda kepada kami. Kami mahu mendengarnya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN