Gol Penalti ‘Nasib’ Vietnam Padam Hasrat Malaysia

Guilherme de Paula Malaysia Vietnam kelayakan piala dunia 2021

Vietnam berjaya merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Malaysia dalam aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al-Maktoum, sebentar tadi.

Dua sepakan penalti diberikan oleh pengadil perlawanan tetapi sepakan penalti yang dihadiahkan oleh Ryuji Sato kepada Vietnam dilihat sangat meragukan apabila pemain Vietnam, Nguyen Van Toan dilihat seperti membuat simulasi dalam kotak penalti.

Malaysia mempamerkan kesungguhan dalam perlawanan kali ini disebabkan mereka tidak lagi boleh tewas dalam baki dua perlawanan ini. Namun, di babak pertama Vietnam terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi Nguyen Tien Linh.

Beberapa peluang dimiliki oleh Harimau Malaya, namun boleh dikatakan tiada percubaan yang betul-betul menguji Bui Han Truong antaranya percubaan Syafiq Ahmad di minit ke-19 yang berjaya ditangkap kemas olehnya di depan gawang.

Sebelum itu, tiga kali Naga Emas datang menguji keampuhan pertahanan skuad negara menerusi pemain bek sayap, Doan Van Hau, pemain tengah, Nguyen Hoang Duc dan penyerang, Nguyen Tien Linh. Tetapi kubu negara masih tampak ampuh.

Percubaan paling hampir tentunya menerusi hantaran lintang rendah Doan Van Hau yang melewati pertahanan negara dan menemui Nguyen Tien Linh yang tidak dikawal. Begitupun, penyerang muda itu gagal menyambar dengan kemas di depan gawang.

Minit ke-27, bermula daripada sepakan penjuru, Aidil Zafuan gagal menanduk kemas mengeluarkan bola daripada kawasan gol. Ia ditanduk ke depan gol oleh Doan Van Hau sebelum disambar dengan tandukkan Nguyen Tien Linh untuk gol pembukaan.

Harimau Malaya cuba bangkit dengan tiga asakan dicipta oleh Malaysia, namun belum cukup untuk menguji Bui Tan Truong. Asakan bermula daripada Matt Davies yang melambung bola ke kawasan gol tetapi gagal disudahkan oleh Syafiq Ahmad.

Lima minit kemudian di minit ke-44, Safawi Rasid memiliki peluang terbaik untuk gol penyamaan menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti lawan. Rembatan lemahnya itu mudah buat penjaga gol tinggi lampai, Bui Tan Truong menepisnya.

Mohamadou Sumareh juga terlepas peluang untuk meledak gol apabila rembatan terbias oleh de Paula yang melalui depan gawang Vietnam gagal disambarnya.

Malaysia bermula agak baik di babak kedua tetapi masih belum mampu mengasak gawang lawan dengan lebih baik. Kegagalan Safawi Rasid yang ditukarkan di permulaan babak kedua diteruskan pula oleh Sumareh di babak kedua.

Tiada tekanan mampu dihadirkan oleh pemain sayap skuad negara ke kubu lawan. Ini memaksa Cheng Hoe memasukkan pula Arif Aiman untuk Sumareh di minit ke-61 dan ia tampak berhasil. Beliau berjaya membuat apa yang tidak dilakukan Sumareh.

Antaranya hantaran lambung ke dalam kotak penalti yang gagal disambar dengan tandukkan kemas oleh Akhyar Rashid – yang masuk menggantikan Safawi Rasid.

Tiga minit sebelum itu, di minit ke-60, de Paula mensia-siakan peluang yang dimilikinya di depan gawang apabila sentuhannya selepas menerima sepakan percuma Nazmi Faiz yang mudah untuk ditangkap kemas oleh Bui Tan Truong di gawang.

Minit ke-65, fast break attack telah dicipta oleh Nguyen Hoang Duc dan kemudian membuat hantaran kepada Nguyen Trong Hoang yang menghantarnya ke depan gawang. Namun, ia gagal disambut dengan sentuhan oleh Nguyen Tien Linh.

De Paula akhirnya berjaya meledak gol pertamanya bersama Harimau Malaya berpunca daripada kesalahan yang dilakukan oleh Doan Van Hau yang memberikan sepakan penalti. De Paula tenang untuk menyudahkannya di minit ke-71.

Minit ke-82, simulasi oleh pemain Vietnam, Nguyen Van Toan di dalam kotak penalti berjaya memperdaya pengadil perlawanan untuk menghadiahkan sepakan penalti dan ia telah disempurnakan oleh kapten, Que Ngoc Hai menewaskan Farizal Marlias.

Ia meranapkan terus moral skuad kebangsaan untuk meneruskan aksi apabila fokus pemain dilihat sudah mula tercalar. Momentum kebangkitan dilihat semakin hilang. Kemenangan ini membolehkan Vietnam terus menerajui saingan Kumpulan G.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply