Gol Jaringan Gabriel Jesus Jadi Mangsa Pertama VAR Di EPL

Gol jaringan penyerang Manchester City, Gabriel Jesus menjadi jaringan pertama yang dibatalkan oleh teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) di Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini.

Jaringan tersebut dibatalkan dalam perlawanan pertama kempen musim ini, namun ia tidak menghalang Manchester City membelasah West Ham 5-0 dalam perlawanan tersebut.

Setelah melalui peringkat ujian pada musim lalu, Premier League memutuskan agar VAR digunakan sepenuhnya pada semua 380 perlawanan liga pada musim ini.

Jesus meraikan jaringan yang memberikan City pendahulan 3-0 ke atas West Ham, selepas beliau menyempurnakan hantaran Raheem Sterling melalui satu gerakan menyerang menarik.

Namun demikian, semakan VAR mendapati Sterling berada di dalam keadaan offside ketika melakukan larian ke arah kotak penalti.

Jaringan tersebut bukan satu-satunya kontroversi yang disebabkan oleh VAR dalam perlawanan itu. Sergio Aguero terpaksa mengambil sepakan penalti dua kali – walaupun sepakan penalti pertama diselamatkan Lukasz Fabianski- setelah pemain tengah West Ham, Declan Rice dipersalahkan kerana berada di dalam kotak penalti sebelum sepakan diambil.

Pelaksanaan teknologi VAR di dalam bola sepak sentiasa menjadi perdebatan ramai pihak. Walaupun ia membantu pengadil daripada segi ketepatan dalam melakukan keputusan ketika perlawanan, sesetengah pihak terutama penyokong mendakwa ia mengganggu keseronokan, terutama aspek drama di dalam bola sepak.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram