Adakah Benar Gian Piero Ventura Adalah Nelo Vingada Bola Sepak Itali?

Berdasarkan tajuk artikel di atas, bolehkah anda mencari persamaan di antara Gian Piero Ventura dan Nelo Vingada? Ramai pemerhati bola sepak yang masih terkejut dengan kegagalan Itali melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.

Kali terakhir mereka gagal ke Piala Dunia ialah pada 1958.

Secara kebetulan Piala Dunia 1958 menyaksikan lawan yang menyingkirkan Itali melalui perlawanan pusingan play-off  zon eropah pada awal pagi tad.

Sweden adalah tuan rumah Piala Dunia 1958; juga penampilan terbaik mereka dalam sejarah kejohanan tersebut apabila muncul naib juara setelah tewas 5-3 kepada Brazil di perlawanan akhir.

Pengenalan: Musibah yang menanti

Sebenarnya musibah yang menimpa bola sepak Itali sehingga gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 sebenarnya sudah boleh diramalkan terlebih awal. Untuk 2 edisi Piala Dunia sebelum ini, mereka gagal melepasi peringkat kumpulan, masing-masing pada kejohanan 2010 dan juga 2014.

(Photo by Lars Baron – FIFA/FIFA via Getty Images)

Selepas menyerlah di kejohanan Euro 2016 di bawah bimbingan Antonio Conte, Itali terpaksa beralih pengendali setelah Conte memilih untuk menyertai Chelsea.

Kemudian tiba pengendali berusia 69 tahun, Giampiero Ventura yang memiliki pengalaman luas selama 41 tahun di dalam pengurusan bola sepak serta disifatkan mahir akan selok belok bola sepak Itali.

(Photo by Nicolò Campo/LightRocket via Getty Images)

41 tahun pengalaman di dalam bola sepak Itali, ia kelihatan wajar. Namun kejayaan terhebat yang pernah dicapai oleh Ventura sepanjang tempoh itu ialah ketika membimbing Leece dari Serie C, sehingga berjaya bersaing di Serie A pada 1996.

Apa yang Persekutuan Bola Sepak Itali fikirkan?

Secara literal, bukankah ia adalah amaran jelas kemeruduman bola sepak Itali di pentas antarabangsa bakal tiba?

Ada apa dengan Itali?

Jangan kita hidup di dalam penafian. Piala Dunia tanpa Itali— 4 kali juara dunia dan 2 kali naib juara dunia, adalah sesuatu yang menjanggalkan.

Ia adalah realiti bola sepak yang akan mengambil masa beberapa minggu, bulan atau sehingga selepas Piala Dunia di Rusia untuk rakyat Itali ratapi.

(Photo by Alessandro Sabattini/Getty Images)

Mari kita jauhkan sifat ‘bias’ dalam bola sepak. Belanda turut gagal ke Piala Dunia. Gergasi CONCACAF, Amerika Syarikat turut gagal. Juara 2 kali berturut-turut bola sepak Amerika Selatan, Chile juga gagal. Mengapa Itali yang kita persoalkan?

Ini adalah kerana ketika kita membicarakan pengelasan negara kuasa bola sepak, tidak ada negara yang tersebut di atas mempunyai kriteria seperti Itali. Kita harus akui Itali berada di dalam kasta mereka tersendiri sebagai kuasa bola sepak secara tradisi.

Kegagalan Itali ke Piala Dunia pasti akan mencetuskan inkues berpanjangan membelah kota Rom, Milan, Turin sehingga ke Naples, walaupun selepas Piala Dunia pada tahun hadapan untuk memastikan bola sepak Itali tidak dimalukan sekali lagi pada masa akan datang.

Siapa Giampiero Ventura?

Ianya hampir 60 tahun yang lalu sejak kali terakhir kemeriahan Piala Dunia disulami tanpa kehadiran Itali. Namun untuk 2 perlawanan play-off membabitkan Itali dan Sweden, skuad Azzurri gagal menjaringkan sebarang gol. Ini adalah malapetaka buat Itali.

Mungkinkah perlantikkan Gian Piero Ventura sebagai pengganti Antonio Conte adalah pemangkin kepada malapetaka ini?

(Photo by MICHAEL CAMPANELLA/Getty Images)

Untuk sebuah negara bola sepak yang kaya dan pencetus kepada pelbagai falsafah bola sepak serta pernah menghasilkan deretan jurulatih hebat sepanjang zaman, perlantikkan Ventura harus disifatkan sebagai keputusan yang lemah oleh badan bola sepak Itali.

Ventura dilantik sebagai pengendali Itali pada usia 67 tahun pada ketika itu, segar daripada kejayaan membimbing Torino selama 5 tahun.

Dalam tempoh itu, Ventura berjaya memberi kestabilan kepada Torino sehingga berjaya melayakkan diri ke pertandingan eropah.

(Photo by Claudio Villa/Getty Images)

Namun Ventura tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan utama. Perlantikkan Ventura lebih kepada ‘jalan selamat dan keputusan mudah’ kerana Carlo Ancelotti dan Claudio Ranieri tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Manakala Roberto Mancini yang pernah menyatakan minat, seperti tidak diendahkan. Apa pun alasan perlantikkan Ventura, Itali harus mengakui perlantikkan pengendali itu adalah keputusan yang teruk.

Apatah lagi sikapnya yang sering tidak mengendahkan pendapat penyokong, disertai barisan pemain sendiri yang mulai mempersoalkan pilihan kesebelasan utama dan taktikal yang digunakan dalam perlawanan.

Segalanya sudah terlambat buat Itali

Ketika mereka tewas 1-0 kepada Sweden di Stockholm, segalanya sudah terlambat buat Itali.

Dalam perlawanan di San Siro pada awal pagi tadi, Itali ketinggalan 1-0 secara agregat. Khidmat Marco Verratti terpaksa dilupakan akibat pergantungan.

Walau pun ketinggalan dari segi jaringan, pemain menyerang seperti Andrea Belotti, Stephan El Shaarawy dan Lorenzo Insigne masih berada di senarai bangku pemain simpanan. Insigne menunjukkan prestasi cemerlang bersama Napoli di Serie A.

(Photo by Marco Luzzani/Getty Images)

Sekurang-kurangnya Belotti dan El Shaarawy diberikan peluang beraksi dalam perlawanan tersebut pada babak kedua, namun ia sudah terlambat untuk kedua-duanya berbuat apa-apa.

Itali terseingkir kerana kegagalan jurulatih mereka menyedari bahaya yang menanti, dan bertindak terlampau perlahan untuk melakukan perubahan.

Ada apa dengan Vingada?

Sejak tampuk pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diambil alih oleh Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail pada Mac lalu, pusingan kelayakkan Piala Asia adalah ujian pertama yang harus ditempuhi oleh baginda.

Di kalangan peminat bola sepak tempatan, keputusan segera adalah wajib dan ditagih secara terus. Jika skuad Harimau Malaya gagal melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia 2019 di UAE, ia akan dianggap sebagai satu kegagalan.

Mari kita jujur dengan diri sendiri. Jangkaan sedemikian masih tidak munasabah dengan kekuatan kelompok pemain  sedia ada. Anda bersetuju?

Namun kita semua tahu harapan itu kini bukan gambaran yang kita mampu lihat pada hari ini. Peluang Malaysia ke Piala Asia 2019 di UAE sudah tertutup rapat.

Ventura mungkin mempunyai isu untuk diketengahkan dari segi kelompok pemain- antara yang terlemah sejak beberapa dekad untuk disandarkan harapan untuk berjaya.

Vingada turut mengalami isu yang sama seperti Ventura tatkala pembangunan bola sepak akar umbi sering menjadi topik perbualan media massa dan pemerhati bola sepak tempatan.

Foto: Mohd Azren Jamaludin

Vingada mungkin pernah meraih kejayaan di pentas antarabangsa, terutama ketika bersama Arab Saudi. Vingada membantu pasukan Portugal B-20 bergelar juara sebanyak 2 kali dalam kejohanan FIFA B20 sebagai pembantu Carlos Queiroz.

Hakikatnya harapan yang disandarkan peminat bola sepak Malaysia yang dahagakan kejayaan itu agak tinggi dan hampir mustahil dicapai oleh skuad sedia ada. Namun bukan itu yang dipersoalkan sekarang.

Pencapaian Vingada setakat ini

Tidak ramai yang terkejut dengan pencapaian skuad negara di pusingan kelayakkan Piala Asia. Ia adalah kegagalan yang lali dengan bola sepak negara di pentas antarabangsa. Bola sepak kita masih jauh di belakang. Demikianlah hakikat pahit yang harus kita telan.

Kredit: FAM, Facebook

Namun sebagai jurulatih asing pertama dalam tempoh lebih sedekad membimbing pasukan Harimau Malaya, pencapaian Vingada haruslah lebih cemerlang daripada mantan jurulatih tempatan sebelumnya.

Sejak pengumuman perlantikkan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya pada penghujung Mei lalu, Vingada sudah menempuh 7 perlawanan.

Apakah perkara positif yang boleh kita bicarakan? Jujurnya tiada. Taktikal Vingada dikritik ramai, khususnya dalam perlawanan di Hong Kong. Pemilihan pemain yang membarisi kesebelasan utama turut boleh dipersoalkan.

Kredit Foto: Facebook HK League.

Tatkala Vingada hanya baru beberapa bulan sahaja mengendalikan skuad negara, maka taktikal yang ditampilkan mungkin pincang. Ini kerana beliau masih belum mengenali kebolehan, kelebihan dan kelemahan keupayaan pemain sedia ada.

Dari segi pemilihan pemain, rata-rata berpendapat Vingada seharusnya menggunakan pemain yang mempunyai minit aksi kompetitif lebih banyak untuk perlawanan di peringkat antarabangsa.

Tapi sebagai seorang jurulatih yang berkebolehan dan kaya dengan pengalaman, apa yang harus beliau lakukan?

Di mana silap Vingada?

Hujahnya mudah, jika saingan di peringkat liga, pasukan dan kelab cenderung untuk menurunkan pemain yang kurang mendapat minit untuk beraksi. Piala Carabao di England misalnya, adalah medan untuk kelab-kelab utama Eropah untuk menguji pemain muda.

Perkara sama juga terjadi dalam saingan tempatan di Malaysia. Saingan Piala FA dan Piala Malaysia menyaksikan terdapat pasukan-pasukan bertanding menurunkan pemain yang kurang mendapat minit beraksi di peringkat liga.

Safiq Rahim meninggalkan beban kepada rakan sepasukan selepas dilayangkan kad merah. Foto: Asiana.my

Namun saingan di pentas antarabangsa bukan begitu. Anda memerlukan pemain yang mempunyai kecergasan dan ketajaman aksi yang lebih jitu.

Terdapat cakap-cakap tanpa bukti mengatakan pilihan pemain oleh Vingada dipengaruhi oleh pihak tertentu. Semudah itu kita menghadam sesuatu dakwaan tanpa bukti.

Nelo Vingada adalah ketua jurulatih. Sebagai ketua jurulatih, beliau harus bertanggungjawab ke atas pemilihan pemain, taktikal permainan, seterusnya keputusan perlawanan.

Tatkala Lebanon dan Korea Utara harus kita akui mempunyai pasukan yang lebih mantap, langkah skuad negara turut dimatikan oleh Hong Kong.

Gambar kredit: Freemalaysiatoday

Untuk rekod, 5 perlawanan menentang Hong Kong sejak 2011 sebelum pusingan kelayakkan Piala Asia 2019, Malaysia tidak pernah tewas kepada pasukan tersebut serta dibimbing oleh jurulatih tempatan.

Anda mungkin akan berhujah Hong Kong mempunyai pemain naturalisasi yang lebih mantap dari segi teknikal.

Tetapi apa ertinya kita mengambil pengendali asing jika tidak dapat memikirkan taktikal yang sesuai untuk memerangkap lawan terutamanya ketika pertemuan di Larkin pada September lalu?

Apa persamaan Itali dan Malaysia

Jangan samakan bola sepak Itali dengan Malaysia. Itu bukan fakta utama penulisan artikel ini. Secara harfiah, kegagalan bola sepak Itali hampir sama dengan Malaysia. Gagal dalam perancangan.

Di sebalik kekalahan 2 kali dengan jaringan 4-1 kepada Korea Utara di Buriram baru-baru ini, apa lagi yang kita boleh jangkakan seterusnya? Kita meneruskan hari-hari kita seperti biasa? Semudah itu?

(Gambar : FAM)

Kita masih kekurangan kesedaran akan kegagalan. Gagal, kita mengamuk, kita kritik. Itu lumrah. Menang, kita katakan nasib. Kemudian kita lupakan. Ini adalah jenis pemikiran yang perlu diubah untuk membenarkan kita ke hadapan.

Begitu juga perancangan untuk masa hadapan. Untuk Malaysia, bola sepak negara telah tidur lebih daripada 3 dekad lamanya. Kita lebih mudah menuding tanpa solusi. Lepas tangan tanpa bekerja.

Seperti mana Ventura, Vingada perlu lebih terbuka untuk mengkaji punca permasalahan bola sepak Malaysia sebelum tampil dengan solusi yang lebih berkesan?

Hakikatnya kita tidak boleh mengharapkan keputusan segera daripada Vingada. Selepas hanya beberapa perlawanan, sukar untuk Vingada menerapkan DNA dan falsafah bola sepak yang ingin beliau tampilkan.

Namun demikian, tidak ada sesiapa boleh menyangkal kekecewaan penyokong bola sepak tempatan. Kerana di sebalik kekurangan skuad sedia ada, kita mengharapkan disiplin dari pemain serta kebijaksanaan dari Vingada yang digelar ‘The Professor’.

Sekurang-kurangnya maruah negara diperjuangkan dengan segenap keringat.

Rumusan

Adakah pemecatan Vingada dan perlantikkan jurulatih lain akan menyelesaikan isu kualiti skuad kebangsaan? Mungkin tidak adil membincangkan perihal pemecatan hanya selepas mengendalikan 7 perlawanan.

Namun jika dikekalkan, penulis berpendapat Vingada perlu mengurangkan fokus memburu kemenangan kerana terlampau kepingin mendiamkan pengkritik.

Baru-baru ini sebuah simposium anjuran Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) telah diadakan bagi mengenalpasti DNA bola sepak negara secara holistik.

Mungkinkah ia adalah platform yang sesuai untuk Vingada memulakan semula tugas membantu membina skuad kebangsaan? Atau bagaimana seharusnya kaedah lain untuk kita mengembalikan harapan kepada pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa?

Masing-masing punyai tanggungjawab. Fokus perlu kembali kepada pembangunan bakat baru. Untuk itu, semua pihak perlu memainkan peranan dan tidak bergantung harap kepada program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) semata-mata.

Adakah sinar berada di hujung terowong? Atau perlukah kita mengorek lebih jauh lagi, dalam pencarian sinar dambaan penyokong bola sepak negara? Buang sikap keanak-anakan. Ini waktu untuk kita bangun dari lena dan bekerja keras.

 

Nota Editor: Artikel ini adalah pendapat penulis semata-mata dan tidak mewakili pandangan Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi. Jika anda mempunyai pandangan mengenai isu yang sama, sila coretkan di ruangan komen. Pastikan anda tampil dengan fakta dan pendapat yang ilmiah untuk tujuan perkongsian bersama. Majulah bola sepak untuk negara!

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN