Mohamad Ghaddar Pastikan JDT Terus Selesa, Sarawak Masih Cari Tonik Kebangkitan

Kedua-dua pasukan mempunyai misi tersendiri dalam perlawanan ini. Johor Darul Ta’zim (JDT) berhasrat untuk mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Super dalam misi mengejar 4 kejuaraan secara berturut-turut.

Manakala Sarawak terbang ke Larkin dengan misi untuk menjarakkan diri dari zon penyingkiran. Lebih dari itu, anak buah Pengiran Bala ingin mengembalikan keyakinan penyokong.

Ini adalah perlawanan pertama kendalian Pengiran Bala selepas pengumuman David Usop untuk berehat pada minggu lalu.

Sedikit rombakan di bahagian pertahanan menyaksikan Mazwandy Zekeria berada dalam kesebelasan utama menggantikan Demerson yang tercedera. Pengiran Bala turut merehatkan penjaga gol utama skuad Bujang Senang, Shahril Sa’ari dan menyenaraikan Aidil Mohamad di hadapan gawang.

Kredit: JOHOR Southern Tigers

Di atas kertas, anak buah Ulisses Morais adalah pilihan ketara. Gandingan Guerra-Ghaddar-Cabrera terus dikekalkan seperti perlawanan menentang Pahang sebelum ini.

Sedikit perubahan di bek kiri, dengan Mohd Hasbullah Abu Bakar mengambil peranan daripada Fazly Mazlan dan Azrif Nasrulhaq yang digantung perlawanan.

Afiq Fazail adalah pilihan Morais untuk digandingkan dengan Natxo Insa dan Safiq Rahim di bahagian tengah untuk menggantikan Amirulhadi Zainal yang turut berada dalam senarai pergantungan.

Pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajudin meniupkan wisel permulaan sebagai tanda sepak mula.

Separuh Masa Pertama

JDT menguasai perlawanan sejak sepak mula. Manakala Sarawak lebih gemar bertahan. Peluang pertama JDT hadir pada minit ke-6 melalui sepakan percuma. Bagaimanapun, sepakan Safiq Rahim tersasar.

Melalui satu serangan balas menarik pada minit ke-12, Mohamad Ghaddar menjaringkan gol selepas menerima lorongan cantik daripada Gonzalo Cabrera untuk meletakkan JDT di hadapan.

Kredit: JOHOR Southern Tigers

Sekali sekala Sarawak cuba melakukan serangan, namun sukar untuk menembusi benteng pertahanan pasukan JDT yang diketuai oleh Marcos Antonio.

Gerakan balas pada minit ke-23 yang bermula dari Milos Raickovic, menyaksikan hantaran leret Roskam mencari Shamie Iszuan. Namun begitu, rembatan Shamie berjaya dihadang oleh pertahanan JDT sebelum ditangkap kemas oleh Mohd Izham Tarmizi.

Hantaran-hantaran pendek sesama pemain JDT untuk mencari ruang menyebabkan pemain-pemain pasukan Sarawak terus berkampung di tempat sendiri.

Pada minit ke-38, Gabriel Guerra merembat liar hantaran Safiq Rahim selepas satu gerakan menarik yang dicetuskan oleh Gonzalo Cabrera.

Kredit: JOHOR Southern Tigers

Dua minit selepas itu, sepakan percuma kencang dari arah sebelah kiri gawang JDT oleh Tommy Mawat Bada hampir mengelirukan Izham Tarmizi sebelum dikeluarkan oleh pemain pertahanan JDT.

Pada minit akhir perlawanan separuh masa pertama, Pengiran Bala terpaksa mengeluarkan Tommy Mawat Bada kerana kecederaan dan memasukkan Abd Rahim Abd Razak.

Pengadil perlawanan meniup wisel tamat separuh masa pertama dengan JDT mendahului pasukan Sarawak dengan jaringan 1-0.

Separuh Masa Kedua

Separuh masa kedua bermula menyaksikan JDT memperolehi 2 sepakan percuma secara berturut-turut, Namun demikian, Fadhli Shas menanduk tinggi bola hantaran Safiq Rahim hasil daripada sepakan sudut tersebut.

Sarawak turut mensia-sisakan peluang melalui sepakan penjuru apabila hantaran ke near post gawang JDT disia-siakan oleh Mateo Roskam.

Pada minit ke-54, penjaga gol berusia 36 tahun, Aidil Mohamad bijak membaca gerakan Gonzalo Cabrera di dalam kotak penalti Sarawak, melayangkan badan menepis kuisan leret penyerang dari Argentina itu.

Kredit: JOHOR Southern Tigers

Aidil sekali lagi diuji, kali ini oleh percubaan Natxo Insa yang menyambung hantaran cut back oleh Mohamad Ghaddar pada minit ke-58 perlawanan.

Pemain pertahanan Sarawak, Mazwandy Zekaria menjadi pemain pertama yang menerima kad kuning selepas menjatuhkan Gabriel Guerra pada minit ke-61 perlawanan.

Sarawak kemudiannya membuat pertukaran kedua, mengeluarkan Alif Hassan akibat kecederaan, dan memasukkan Shahrol Saperi.

Tatkala JDT menguasai sebahagian besar permainan, Sahil Suhaimi  mengejutkan pertahanan JDT apabila beliau menyepak masuk hantaran lintang Milos Raickovic hasil gerakan satu dua dengan Mateo Roskam di bahagian tengah padang.

Gol pertama Sahil Suhaimi sejak menyertai pasukan Sarawak pada minit ke-63 itu meletakkan kedudukan terikat 1-1.

Permainan menjadi rancak selepas itu. Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Kredit: JOHOR Southern Tigers

Kemasukkan Muhd Safawi Rashid pada separuh masa kedua memberi impak yang positif buat JDT. Gandingan Safawi bersama Hasbullah di sebelah kiri serangan JDT, berjaya membuka ruang pertahanan Sarawak.

Ghaddar sekali lagi menjadi duri dalam daging untuk pertahanan skuad Bujang Senang apabila beliau menyempurnakan hantaran cut back Muhd Safawi Rashid pada minit ke-75 perlawanan untuk mengembalikan pendahuluan buat pasukan JDT.

2 minit kemudian, giliran Safawi Rashid menjaringkan gol ketiga buat JDT  selepas menerima lorongan cantik Safiq Rahim, mudah menolak masuk bola ke dalam gawang selepas melepasi hadangan Aidil Mohamad.

Ghaddar gagal melengkapkan hatrik dalam perlawanan ini apabila tandukannya pada minit ke-89 hasil hantaran Azammuddin Akil tersasar di sebelah kiri gawang Sarawak.

Wisel ditiupkan oleh pengadil untuk menamatkan perlawanan dan JDT menundukkan pasukan Sarawak dengan jaringan 3-1.

Rumusan

JDT terus berada dalam landasan tepat untuk mendakap kejuaraan Liga Super 2017 dengan kemenangan ke atas Sarawak.

Manakala Sarawak masih lagi tercari-cari tonik kebangkitan yang mereka perlukan untuk keluar dari zon penyingkiran.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram