Gennaro Gattuso Dedikasikan Kemenangan Napoli Buat Mendiang Adik

Kerjasama Semuanya BOLA

Gennaro Gattuso

Pengurus Napoli, Gennaro Gattuso mendedikasikan kemaraan Napoli ke perlawanan akhir Coppa Italia buat mendiang adik perempuannya, Francesca yang meninggal dunia pada awal bulan lalu.

Napoli yang terikat 1-1 pada aksi separuh akhir kedua di San Paolo, awal pagi tadi layak dengan aggregat 2-1 selepas Gli Azzurri berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 di Milan kira-kira tiga bulan lalu.

Di samping itu, Gattuso turut memuji persembahan anak buah yang disifatkan sebagai luar biasa dalam usaha menghadiahkan kegembiraan buatnya.

”Saya mendedikasikan keputusan [kemenangan] ini buat [mendiang] adik dan seluruh ahli keluarga saya,” ujar Gattuso menurut Goal.

”Para pemain tampil luar biasa dengan dedikasi yang mereka tunjukkan di dalam padang. Saya mengucapkan terima kasih buat mereka kerana bermain untuk saya dan mereka hampir [merebut gelaran juara].”

”Saya memiliki pasukan dengan kualiti yang cukup hebat, tetapi ada potensi untuk mengalami kesulitan kerana tidak semua mekanisme yang digunakan berjalan dengan baik.”

”Selepas dibolosi jaringan yang begitu naif, ia tidak mudah untuk kami kembali bangkit.”

”Kami menunjukkan karakter dan saya perlu untuk mengatakan bahawa dari segi intensiti kami bermula dari tempat kami berhenti. Kami melalui masa yang cukup sukar, ia tidak mudah untuk berlatih dengan keadaan darurat [kesihatan],” tambah Gattuso lagi.

Pada perlawanan bertemu Inter Milan, Napoli ketinggalan pada minit kedua selepas sepakan penjuru Christian Eriksen melepasi celah kaki penjaga gol, David Ospina yang sekaligus terus menerjah gawang gol.

Berselang 40 minit kemudian, Dries Mertens mudah menolak masuk hantaran Lorenzo Insigne yang berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan untuk kembali mengikat perlawanan.

Keputusan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk membawa Napoli ke perlawanan akhir bagi menempah pertemuan menentang Juventus pada Rabu ini.

Kredit featured image: Francesco Pecoraro/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Gennaro Gattuso:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram