Gaya FA Thailand Perkenalkan Pemain Skuad B-23 Mereka Lebih Informatif

Gaya FA Thailand dan FA Malaysia perkenal pemain skuad B-23

Nampaknya bukan sahaja cara pengendalian skuad kebangsaan menjadi persoalan, kali ini gaya pengenalan pemain-pemain tumpuan skuad B-23 negara pula menjadi perbandingan dengan gaya digerakkan FA Thailand.

Sebagaimana semua tahu, minggu depan, saingan kelayakan Piala Asia B-23 akan berlangsung dengan Malaysia telah diundi bersaing di Kumpulan J bersama Laos, Mongolia dan Thailand dengan juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Asia B-23 yang berlangsung di Uzbekistan pada Jun.

Sudah tentu kita mahu mengulangi pencapaian empat tahun lalu apabila skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2018. Malah, mereka berjaya mengejutkan banyak pihak apabila mara ke peringkat suku akhir selepas menamatkan peringkat kumpulan di kedudukan kedua, di belakang Iraq.

Malaysia muncul naib juara kumpulan C dengan meraih empat mata hasil kemenangan ke atas Arab Saudi dan terikat 1-1 berdepan Jordan. Ya, Malaysia satu kumpulan bersama tiga pasukan daripada Timur Tengah!

Tiada harapan diberikan kepada skuad muda negara saat itu, namun mereka mengejutkan banyak pihak, malah hampir mara ke separuh akhir, tetapi dikecewakan di saat akhir berdepan Korea Selatan di suku. Malaysia tumpas tipis 1-2 dengan Korea Selatan meledak gol kemenangan lima minit menuju ke wisel penamat.

Itu kisah lama skuad muda negara yang dibarisi antaranya kapten, Adib Zainuddin, Dominic Tan, Daniel Amier Norhisham dan Safawi Rashid. Dan dengan muka-muka baharu dalam skuad Harimau Muda kali ini, kita tentu mahu mengenali lebih dekat, siapa pula yang bakal membarisi skuad kendalian Brad Maloney pada masa ini.

Laman sosial Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif yang baik dengan memperkenalkan identiti setiap pemain yang berada di kem latihan. Dan kita dapat mengenali serba sedikit mengenai mereka.

Tetapi secara tiba-tiba, apabila laman sosial FA Thailand (FAT) pula mengetengahkan identiti para pemain di kem B-23 mereka, perbandingan sudah mula didengari. Apa yang membezakan cara dan gaya FA Thailand?

Tentunya dari segi maklumat yang lebih tajam. Mereka mengetengahkan statistik pemain muda tumpuan mereka iaitu penyerang kelab yang pernah disertai bek tengah Sri Pahang, Nick Swirad pada musim lalu.

Warakorn Thongbai, berusia 19 tahun dan belum membuat penampilan bersama Nongbua Pitchaya itu dikatakan bakal memberikan impak hebat kepada skuad Gajah Perang dalam pusingan kelayakan nanti.

Sedangkan maklumat di pihak skuad B-23 Malaysia, penyokong disajikan dengan biodata pemain sahaja. Paling ‘menarik’ adalah pemain idola dan kelab diminati. Tumpuan tidak diberikan kepada memberikan maklumat dengan informatif seperti penampilan bersama skuad B-19 dan juga penampilan dalam saingan liga.

Malah, ada dikalangan penyokong berkata, gaya yang digunapakai oleh FAM adalah seperti majalah pada era 90-an di seksyen Mari Berkenalan. Ada juga yang merasakan ini taktik FAM agar pihak lawan tidak kenal lebih mendalam profil pemain-pemain muda skuad negara yang bakal diketengahkan pada minggu depan.

Berbanding jika kita menjengah ke laman sosial penyedia statistik Liga Malaysia milik persendirian seperti Atlead Pass, sekurang-kurangnya kita akan mendapat maklumat mengenai statistik pemain muda negara.

Agak pelik jika FAM tiada maklumat sebegitu, namun mungkin ia mahu menjadi rahsia mereka walaupun penyokong sebenarnya dahagakan maklumat sebegitu. Liga Malaysia memang kita tahu, penuh rahsia.

Tiada maklumat lebih mendalam boleh dicapai oleh penyokong melainkan jumlah penampilan dan jaringan gol. Malah untuk pertahanan sekalipun, akan diletakkan juga statistik tidak penting iaitu jumlah jaringan gol.

Begitupun, usaha FAM untuk memperkenalkan identiti setiap pemain adalah bagus kerana kita masih tidak mengenali sebahagian besar pemain-pemain yang bakal membarisi skuad tersebut kecuali beberapa pemain yang telah tampil beraksi di saingan liga dan bersama skuad senior seperti Mukhairi Ajmal dan Quentin Cheng.

Namun, mungkin ia sedikit kurang berinformatif seperti FA Thailand memperkenalkan pemain B-23 mereka.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply