Gandingan 3F Di Jentera Serangan Kedah Gagal Ujian Pertama

Gandingan serangan 3F Kedah Sri Pahang 2021

Gandingan Fayadh Zulkifli, Fandi Othman dan Faizat Ghazli (3F) jadi pilihan pengendali, Aidil Sharin Sahak menggerakkan jentera serangan Kedah pasca kehilangan Kpah Sherman dan Rabih Ataya.

Sebagaimana yang diketahui umum, Kedah Darul Aman FC berdepan Sri Pahang tanpa Kpah Sherman dan Rabih Ataya apabila mereka pulang menyertai kem skuad kebangsaan masing-masing.

Bukan hanya untuk satu perlawanan, mungkin Kedah akan kehilangan khidmat mereka sehingga ke hujung musim disebabkan kem skuad kebangsaan akan berlangsung kurang lebih selama dua minggu.

Kpah Sherman menyertai skuad Liberia untuk dua aksi dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 zon Afrika, sementara Rabih Ataya bersama Lubnan dalam pusingan akhir kelayakan Piala Dunia zon Asia.

Tanpa Kpah Sherman & Rabih Ataya, Peluang Buat Pemain Muda Tampilkan Diri?

Bagi sesetengah penyokong, mereka tidak terlalu risau tentang kehilangan Rabih Ataya, namun ketiadaan penjaring sensasi, Kpah Sherman lebih menakutkan kerana siapa yang mampu menjadi sepertinya? Selepas 17 penampilannya, beliau telah meledak 13 gol – penjaring terbanyak Kedah.

Berdepan Sri Pahang tadi, Aidil Sharin tampil dengan perubahan drastik apabila terlebih dahulu turut merehatkan Kipre Tchetche. Ia diluar jangkaan ramai apabila mereka turut ‘ketiadaan’ Kipre Tchetche.

Difahamkan Kipre Tchetche mengalami kecederaan ringan ketika sesi latihan selepas tiba di sana.

Gandingan 3F diperkenalkan kepada penyokong Kedah apabila Fayadh Zulkifli, Fandi Othman dan Faizat Ghazli menjadi pilihan utama untuk menggerakan jentera depan skuad Hijau Kuning pada malam tadi.

Ini merupakan kali pertama Fayadh Zulkifli berada dalam kesebelasan utama. Fandi Othman pula kali pertama beliau bergerak di jentera depan. Faizat Ghazli sahaja yang mungkin sedikit berpengalaman.

Ini juga kali pertama gandingan ini diuji secara kompetitif. Kedah turun dengan formasi 4-3-3 dengan perubahan turut dapat dilihat di jentera tengah dengan Asnan Ahmad diletakkan dalam skuad utama.

Permainan yang longgar dipamerkan sepanjang babak pertama oleh Kedah dengan tuan rumah tampil lebih baik dalam penguasaan bola. Walaupun begitu, Kedah terlebih dahulu mendahului aksi menerusi jaringan Amirul Hisyam pada minit ke-12, sebelum ia disamakan oleh Kenny Athiu pada minit ke-29.

Tiada serangan berbahaya mampu dijana gandingan tiga serangkai yang dipertaruhkan Aidil Sharin itu.

Statistik Perlawanan Kedah Sri Pahang 2021
Statistik perlawanan yang menyaksikan Sri Pahang mendominasi aksi di Kuantan

Ia mungkin juga berpunca daripada penguasaan bola yang kurang oleh Kedah dengan hanya 4o peratus sahaja serta kurangnya kesefahaman permainan antara mereka bertiga. Ada beberapa detik yang mungkin gandingan ini dilihat hampir berjaya meyakinkan semua penyokong termasuk Aidil Sharin.

Awal babak kedua dapat dilihat skuad Hijau Kuning cuba untuk memperbaiki dari aspek penguasaan perlawanan dengan cuba memegang bola lebih lama, namun ia tampak tidak bertahan lama.

Minit ke-47, tandukkan kurang kemas Faizat Ghazli langsung tidak menguji penjaga gol tuan rumah, Daniel Wafiuddin selepas beliau menerima hantaran lintang oleh Fayadh Zulkifli dari sebelah kiri.

Selain itu, Faizat Ghazli juga dilihat hanya mampu membuat percubaan yang tersasar pada minit ke-59.

Selepas sejam perlawanan berlangsung, Aidil Sharin mengeluarkan Fandi Othman dan Fayadh Zulkifli untuk memasukkan dua pemain ‘otai’, Azamuddin Akil dan Syazwan Zainon yang tidak sampai lima minit dimasukkan telah berjaya bergandingan menghasilkan gol kedua buat pasukan pelawat.

Namun, Sri Pahang bukanlah pasukan yang mudah mengalah dan mereka memanfaatkan penguasaan perlawanan dengan acapkali hadir untuk mengasak ke kubu pasukan pelawat dan hasilnya, mereka meraih jaringan penyamaan di minit ke-87 menerusi jaringan sendiri bek tengah, Loqman Hakim.

Perlawanan ke-20 Sri Pahang dan ke-19 Kedah ini akhirnya berkesudahan dengan keputusan seri 2-2 yang menyaksikan Kedah gagal untuk terus menjarakkan diri daripada Terengganu FC dan Penang FC.

Untuk ujian pertama gandingan 3F oleh Aidil Sharin ini, mereka boleh dikatakan gagal menghadirkan ancaman kepada pihak lawan. Ia tampak kurang meyakinkan mungkin disebabkan kesefahaman.

Selain itu, aspek penguasaan permainan yang dimiliki oleh tuan rumah juga mematikan langkah Kedah.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply