Frederic Kanoute Dan Rakan-Rakan Usaha Bina Masjid Baharu Di Sevilla

Bekas penyerang kebangsaan Mali, Frederic Kanoute sedang berusaha meraih dana untuk membina sebuah masjid di Sevilla, Sepanyol.

Masjid baharu itu akan dibina di Sevilla selepas 700 tahun.

Siapa Kanoute

Beliau merupakan pemain beragama Islam yang pernah beraksi untuk beberapa buah kelab terkenal Eropah. Antaranya, Olympique Lyon, West Ham United dan Tottenham Hotspur.

Kemudiannya beliau berhijrah ke Sevilla. Meskipun dilahirkan di Perancis, Kanoute mengambil keputusan untuk mewakili Mali.

Dalam temuramah bersama BBC, beliau menyatakan sebagai seorang Muslim, beliau akan mencari tempat solat untuk menunaikan ibadah fardhu tersebut.

Dalam pencarian itu, beliau telah menemui sebuah masjid di Sevilla. Pada 2007, masjid itu menghadapi masalah iaitu tuan tanahnya ingin menutup masjid itu dan menyewakan kepada pihak lain.

Sekiranya masjid itu ditutup, penduduk Sevilla beragama Islam akan menghadapi masalah untuk menunaikan solat Jumaat.

Membantu

Berita itu telah sampai kepada pengetahuan Kanoute. Kanoute mengambil keputusan untuk membeli hartanah itu.

Entah bagaimana, berita itu menjadi tular di serata dunia. Beliau dilaporkan mengeluarkan wang sebanyak 700 Ribu Dolar Amerika untuk membeli hartanah itu.

Malah, pentadbiran bandar raya Sevilla sendiri telah mengesahkan pembelian Kanoute itu. Akhirnya tindakan itu telah membantu komuniti Islam di Sevilla yang datang dari pelbagai pelusuk dunia.

Malah, ada warga Sepanyol sendiri yang beragama Islam dapat memanfaatkan masjid itu.

Kembali ke Sevilla

Kanoute kembali ke Sevilla bagi mengadakan kempen meraih dana untuk pembinaan masjid itu. Kali ini Kanoute bersama organisasi yang dikenali sebagai Seville Mosque Foundation.

Sasaran mereka ialah sebanyak 250 ribu Dolar Amerika. Setakat pada 25 Mei, lebih 110 ribu Dolar Amerika telah dikumpulkan.

Cadangan pembinaan itu merangkumi bangunan tiga tingkat. Binaan itu termasuk dengan sebuah tempat letak kenderaan yang berada di bawah tanah.

Abou Diaby, antara bekas pemain yang melahirkan sokongan bagi menjayakan kempen ini. Semoga usaha ini mendapat ganjaran besar di dunia dan di akhirat!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram