Frank Bernhardt Dilihat Sudah Bersama Skuad UiTM FC Dalam Aksi Pra-Musim

Frank Bernhardt Manzoor Azwira UITM FC Pulau Pinang 2020

Kelibat bekas pengendali skuad B-23 negara, Frank Berndhardt ketika aksi persabatan antara UiTM FC dan Pulau Pinang pada 21 Disember yang lalu telah berjaya menarik perhatian umum.

Pengendali berusia 50 tahun itu sebelum ini telah dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih UiTM FC selepas pasukan tersebut akhirnya sah berpisah dengan pengendali musim lalu, Ismail Zakaria.

Ismail Zakaria berjaya membimbing pasukan tersebut menamatkan musim di kedudukan kelima dengan mengumpul 29 mata dan meraih promosi ke Liga Super selepas PKNS FC menjadi feeder club kepada Selangor dan diturunkan pangkat ke Liga Premier 2020.

Beberapa keping foto mengenai ketibannya telah dimuat naik oleh laman Facebook UiTM FC pada 7 Disember lalu, namun identiti jurulatih yang tiba daripada Eropah itu, ketika itu dirahsiakan.

Namun kini, ia seakan-akan bukan lagi rahsia apabila kelihatan kelibatnya dalam perlawanan yang dimenangi oleh Pulau Pinang dengan keputusan 4-0, yang berlangsung di Bukit Jelutong.

Di dalam gambar yang dirakam oleh laman Facebook FA Penang itu, kelihatan Frank Bernhardt sedang membicarakan sesuatu bersama pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira.

Frank Bernhardt UITM FC 2020
FOTO: FA Penang

Walaupun belum ada pengumuman rasmi daripada pihak UiTM FC sehingga kini, foto-foto yang dirakam ketika aksi pemanas badan antara kedua-dua pasukan itu sudah mengesahkan kehadirannya.

Pengendali yang berasal daripada Jerman itu pernah membimbing skuad muda negara bermula pada 2015 sehingga 2017, namun kontraknya ditamatkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Selepas ditamatkan kontrak oleh Presiden FAM yang baharu iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Frank Bernhardt telah melatih sebuah pasukan di Estonia, skuad B-21 Kaiju FC di divisyen 2, Liga Estonia.

Hampir keseluruhan karier kejurulatihannya adalah bersama skuad muda sama ada skuad B-21 ataupun skuad B-19 dan dengan UiTM FC lebih fokus membentuk skuad muda, pelantikannya dilihat amat bersesuaian dan boleh membantu pasukan dengan lebih baik.

Untuk saingan musim 2020, UiTM FC dijangkakan membariskan pemain-pemain dari kalangan pelajar disamping diperkukuhkan dengan kehadiran pemain import yang belum diumumkan.

The Lions merupakan universiti pertama dalam sejarah akan beraksi di pentas tertinggi Liga Malaysia (Liga M) dan diharapkan akan mampu untuk kekal bersaing di Liga Super pada musim 2021.

FOTO: FA Penang

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply