Francesco Caputo: Debut Itali Pada Usia 33, Mula Karier Dari Liga Amatur

Kerjasama Semuanya BOLA

Caputo Itali

Penyerang Sassuolo, Francesco Caputo mungkin tidak begitu dikenali seperti Ciro Immobile yang muncul pemenang kasut emas Serie A musim lalu, namun ada sebab untuk anda mengingati nama pemain kelahiran Itali ini.

Hal ini kerana beliau berjaya menjaringkan gol pada penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan Itali apabila membantu skuad ‘Gli Azzuri’ tersebut menundukkan Moldova 6-0 pada aksi persahabatan di Stadio Artemio Franchi.

Lebih menarik untuk diperkatakan, debut tersebut hadir ketika usia Caputo sudah pun menjangkau usia 33 tahun.

Beraksi di laman sendiri, Itali yang dibimbing Roberto Mancini tidak berdepan masalah untuk berdepan lawan tangga ke-171 ranking dunia itu apabila mendahului 5-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Bryan Cristante, Caputo, Stephan El Shaarawy [dua gol] dan jaringan sendiri Veaceslav Posmac.

Rakan sepasukan Caputo di Sassuolo, Domenico Berardi melengkapkan kemenangan bergaya tersebut menerusi jaringan pada minit ke-72.

Kisah menarik perjalanan karier Francesco Caputo

Semasa bermain di liga amatur (liga divisyen ke-7 Itali), Caputo pernah hampir-hampir mahu bersara dalam bola sepak selepas perpindahannya ke US Grosseto (bermain dalam liga divisyen ke-3 Itali) tidak menjadi.

Ini kerana US Grosseto menuntut bapa Caputo untuk membayar mereka €800 (RM3,909) jika mahu anaknya bermain bersama mereka. Bapa Caputo tidak mampu membayar.

Beliau sangat kecewa sehinggakan tak mahu berlatih di kelab amaturnya. Dalam fikirannya, beliau sudah pasrah dengan takdir hidupnya yang hanya menjadi pekerja kontrak binaan dengan bapanya.

Tetapi jurulatihnya, Onofrio Colasuonno menasihatkan Caputo supaya tidak berputus asa dan bermain di liga amatur selama semusim lagi. Hasilnya, impian Caputo menjadi kenyataan. Beliau ditawarkan kontrak bermain untuk Unione Sportiva Altamura (bermain di divisyen ke-5 Itali).

Pada musim seterusnya, beliau berhijrah ke pasukan divisyen ke-4 Itali (Serie D) pula, AS Noicattaro Calcio. Selepas semusim bermain di Serie D, Caputo akhirnya berjaya memikat hati pasukan Bari (dilatih oleh Antonio Conte pada ketika itu) yang bermain di Serie B (divisyen ke-2 Itali).

Beliau membantu Bari naik ke Serie A, tetapi disisihkan daripada aksi Serie A. Caputo kemudiannya dipinjamkan ke dua kelab Serie B selama dua musim. Selepas 7 tahun bersama Bari, Caputo berhijrah pula ke kelab Serie B, Virtus Entella. Di sini, Caputo bermain selama dua musim, menjaringkan 35 gol dalam 80 perlawanan.

Persembahan cemerlang di Entella inilah yang membuka mata Empoli, satu lagi kelab Serie B untuk membelinya. Di Empoli, Caputo lebih menyerlah dengan membantu pasukannya layak ke Serie A, menjaringkan 42 gol dalam 79 penampilan.

Prestasi cemerlangnya bersama Empoli di Serie A membuka mata satu lagi kelab Serie A untuk membelinya. Pada musim panas 2019, Caputo menandatangani kontrak bersama Sassuolo.

Beliau menamatkan musim tersebut dengan bergelar penjaring terbanyak kelab, sekaligus membantu kelabnya menduduki tangga ke-8 Serie A. Kini pada musim 2020/21, Caputo meneruskan prestasi cemerlangnya dengan menjaringkan 2 gol dalam 3 perlawanan.

Ini meyakinkan Roberto Mancini untuk memanggilnya bermain untuk skuad kebangsaan Itali buat kali pertama – pada usia 33 tahun 62 hari.

Dengan keupayaannya menjaringkan gol menentang Moldova awal pagi tadi, Caputo merupakan penjaring gol tertua Itali pada penampilan pertama.

Ini bermakna rekod Leonardo Pavoletti (30 tahun 120 hari) yang menjaringkan gol pada Mac 2019 berjaya dipecahkan. Debut itu juga bermakna Caputo menjadi pemain Itali kedua tertua membuat debut selepas Emiliano Moretti (33 tahun 160 hari) pada tahun 2014.

Kredit featured image: Gabriele Maltinti/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai skuad kebangsaan Itali:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram