Fokus Rancakkan Liga Malaysia, Lupakan Isu Jumlah Penajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Liga Malaysia

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon menganggap sudah tiba masa untuk semua pihak fokus kepada usaha memastikan Liga Malaysia lebih rancak dan menarik daripada terus mengaitkan isu jumlah penajaan yang tidak didedahkan.

FAS sendiri teruja dengan kehadiran dua penaja terbabit dan percaya tahap kemeriahan Liga Malaysia pada musim ini akan lebih meningkat sekali gus menaikkan lagi imej bola sepak tempatan pada masa akan datang.

Jelas Johan, bukan senang untuk sesebuah liga mendapatkan penaja terbaik apatah lagi sebelum ini MFL berdepan banyak kekangan untuk menamatkan musim 2019 dan adanya TM dan CIMB sebagai penaja ibarat memberi petanda cerah untuk memulakan musim 2020 dengan baik.

“Bagi kami di FAS, CIMB telah mengambil langkah yang sangat penting untuk sukan bolasepak dan ternyata, mereka inginkan jenama CIMB ini terus berkembang bersama bolasepak Malaysia.

“Memang MFL dan barisan penaja tidak mendedahkan jumlah sebenar tajaan kepada semua pihak, tapi untuk kami sebagai rakan kongsi, kami tidak berminat untuk jadikan ia sebagai isu kerana yang penting, kami dimaklumkan mengenai jumlah terbabit.

“Berapa pun jumlahnya, kita patut lihat daripada aspek positif kerana apabila saingan liga semakin membangun, jumlah sesebuah tajaan itu pasti akan meningkat.”

”Saya lebih berminat untuk tahu bagaimana pasukan dan MFL sendiri berusaha untuk Liga Malaysia lebih rancak dan menarik,” ujar Dr Johan Kamal lagi.

Selepas dirundung masalah penajaan selepas penarikan diri TM pada musim lalu, MFL dan Liga Malaysia kini lebih menarik untuk disaksikan selepas kehadiran semula TM serta kesediaan CIMB untuk tampil selaku penaja.

Ia juga dapat memberi gambaran jelas saingan Liga Malaysia 2020 akan lebih menarik untuk disaksikan dengan penglibatan penaja-penaja tersebut.

Selangor yang dilihat begitu giat memperkuatkan pasukan dengan kehadiran beberapa pemain seperti Brendan Gan, Nick Swirad, Muhammad Safuwan Baharudin dan beberapa pemain lagi, akan berkunjung ke Stadium Darul Makmur untuk aksi sulung CIMB Liga Super 2020 berdepan Pahang pada 29 Februari ini.

Kredit foto: Malaysian Football League (MFL)