Florian Wirtz: Kenali Penjaring Gol Termuda Bundesliga Yang Memalukan Manuel Neuer

Florian Wirtz

Beraksi sebagai pemain paling muda di atas padang tentunya satu situasi yang agak mencabar, tetapi tidak bagi penyerang muda Bayer Leverkusen, Florian Wirtz yang mencatat sejarah sebagai penjaring gol termuda dalam sejarah Bundesliga ketika pasukannya tewas 4-2 kepada Bayern Munich pada Sabtu.

Tetapi lebih daripada itu, ‘mangsa’ kepada jaringan gol pemain berusia 17 tahun itu adalah penjaga gol terbaik dunia dan kapten skuad kebangsaan Jerman iaitu Manuel Neuer.

Pada usia 17 tahun 34 hari, Wirtz memadamkan rekod milik Nuri Sahin yang berusia 17 tahun 60 hari ketika menjaringkan gol untuk Borussia Dortmund pada 25 November 2005.

Antara pemain lain yang pernah menjaringkan gol sebelum berusia 18 tahun adalah Julian Draxler, Timo Werner, Christian Pulisic dan rakan sepasukan Wirtz di Leverkusen, Kai Havertz.

Bulan lalu Wirtz turut mencipta sejarah sebagai pemain Die Werkself termuda membuat penampilan di Bundesliga dan pemain ketiga termuda dalam sejarah liga tersebut.

Dilahirkan dan dibesarkan di utara Cologne, Wirtz menyertai FC Cologne pada 2010 ketika berusia 7 tahun. Dengan bakat semulajadinya, sebuah akhbar tempatan, Kolner Express pernah menjangkakan pemain itu bakal menjadi pemain tengah terbaik dunia satu hari nanti.

Perkembangan bakatnya yang begitu pesat semasa remaja telah menghadirkan minat dari Bayern Munich, Borussia Dortmund serta RB Leipzig. Malah Liverpool juga pernah cuba untuk memancing pemain yang membantu skuad bawah 17 tahun (B-17) Cologne memenangi kejuaraan B-17 Jerman pada 2019.

Wirtz menjaringkan satu gol ketika meraih kemenangan besar 5-0 ke atas Bayern di separuh akhir dan beraksi cemerlang ketika menumpaskan Dortmund 3-2 dalam perlawanan akhir.

Bayer Leverkusen berjaya mendapatkannya pada Januari lalu selepas berjanji akan memberikan peluang kepadanya untuk beraksi dalam skuad utama di Bay Arena jika terus mempamerkan aksi memberangsangkan.

Wirtz hanya memerlukan empat perlawanan sahaja bersama skuad B-17 untuk membuktikan keupayaannya dengan menjaringkan dua gol dan meyumbang tiga bantuan jaringan dan terus diberi peluang oleh Peter Bosz untuk beraksi bersama pasukan senior buat kali pertama ketika menang 4-1 ke atas Werder Bremen pada 18 Mei lalu.

LAGOS, PORTUGAL – FEBRUARY 12: Arbnor Aliu, Armindo Sieb, Florian Richard Wirtz and Turan Calhanoglu of U17 Germany celebrate a goal during the Algarve U17 International Tournament game between Germany U17 and Republic of Korea U17 at Lagos Municipal Stadium on February 12, 2020 in Lagos, Portugal. (Photo by Filipe Farinha/Getty Images for DFB)

Patah tumbuh hilang berganti. Dengan kematangan dan keberanian yang ditunjukkan pemain berusia 17 tahun ini, penyokong setia Leverkusen sudah boleh melupakan pemergian Julian Brandt yang menyertai Dortmund pada awal musim ini. 

Wirtz mempunyai ketepatan sepakan yang membolehkannya menjaringkan gol dari jauh dan membuat hantaran jauh yang tepat, mampu menggelecek dengan baik serta berupaya beraksi di mana-mana posisi di bahagian tengah sama ada pemain tengah bertahan, perancang, mahupun posisi nombor 10.

“Dia adalah pemain penting buat pasukan ini, saya susah nak bercakap mengenai seorang pemain secara spesifik, tetapi mungkin pengecualian buat pemain ini. Dia bijak mencari posisi dan ruang tanpa bola, apabila bola di kakinya, kita boleh lihat caranya mencorakkan permainan,” kata pengurus Leverkusen, Peter Bosz.

“Apabila beraksi di peringkat tertinggi pada usia 17 tahun, tentulah pemain itu istimewa, dia tidak gugup dan gentar untuk memberikan persembahan terbaik.”

Anda boleh menonton gol Florian Wirtz di sini.

Kredit Foto: Bayer Leverkusen

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Bayer Leverkusen:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram