Flamengo Kembali Jalani Latihan Tanpa Kebenaran Pihak Berkuasa

Flamengo

Pihak berkuasa Rio de Janeiro mengkritik kelab yang berpangkalan di bandar itu, Flamengo yang kembali menjalani latihan berpasukan pada Rabu lepas tanpa mendapat kebenaran.

Flamengo yang menjuarai Liga Serie A Brazil dan Copa Libertadores pada tahun lepas telah memanggil semua pemainnya buat kali pertama pada Isnin sejak perlawanan dihentikan akibat pandemik COVID-19.

“Flamengo telah pun dimaklumkan larangan aktiviti berkumpulan masih berkuatkuasa sehingga 25 Mei,” kata pegawai kesihatan bandar itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu juga menyebut kelab tersebut perlu membuat ujian saringan pengesanan COVID-19 terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk melaksanakan latihan. 

Bagaimanapun tidak disebut apakah tindakan yang akan diambil ke atas Flamengo.

Kelab tersebut setakat ini masih belum memberi sebarang maklum balas mengenai isu berkenaan.

Semua kejohanan bola sepak di Brazil telah ditanguhkan sejak pertengahan Mac lalu dan tiada satu pun yang dibenarkan untuk kembali disambung.

Tetapi beberapa kelab liga utama telah mula meminta semua pemainnya bersedia untuk kembali menjalani latihan.

Brazil setakat ini sudah mencatatkan 18,860 kes positif dengan 889 kematian, menjadikan negara itu paling teruk terjejas di benua Amerika Selatan.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Brazil dan COVID-19:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram