Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Filem Bola Sepak Malaysia: Mampukah Ia Mengubah Mindset Masyarakat Kita?

Setelah bertahun-tahun disajikan filem gangster, rempit dan hantu, sudah tiba masanya industri perfileman Malaysia menjelajah tema baru – bola sepak.

Peranan filem tempatan kepada budaya popular tempatan tidak boleh dipandang ringan. Sudah banyak dialog-dialog dalam perbualan harian kita diambil terus daripada dialog-dialog dalam filem popular. Sudah banyak mentaliti masyarakat kita dibentuk oleh apa yang kita lihat dari filem-filem tempatan.

Filem Jejak Warriors akan mula ditayangkan bermula 27 Ogos 2015 nanti.

Selepas Jejak Warriors yang mengketengahkan Kelantan FA, dikhabarkan Ahmad Idham akan mengarahkan filem yang mengketengahkan JDT pula. Selepas itu, filem Ola Bola yang mengketengahkan kegemilangan pasukan kebangsaan era 80-an pula bakal dihasilkan.

Persoalan kami adalah: seperti filem-filem tempatan yang lain yang mempengaruhi mentaliti masyarakat (dari segi positif dan negatif), mampukah filem-filem yang bertemakan bola sepak ini mengubah mentaliti masyarakat kita tentang bola sepak tempatan?

Dua aliran filem bola sepak

Kebiasaannya pembuat filem mempunyai 2 aliran (cara) untuk mempersembahkan filem bola sepak mereka.

Aliran pertama: Filem universal bertemakan bola sepak

Pertama, mereka meletakkan tema universal  – kebiasaannya tema cinta, perjuangan (dari perspektif peminat) dan komedi – dalam filem bola sepak mereka. Ini adalah supaya filem mereka boleh ditonton oleh semua orang; sama ada golongan peminat bola sepak atau golongan bukan peminat bola sepak.

Filem-filem seperti Fever Pitch (1997), Bend It Like Beckham (2002), The Match (1999), Goal! (2005), Garuda di Dadaku (2009)dan Shaolin Soccer (2001) adalah contoh-contoh filem dalam adunan sebegini.

Dalam konteks tempatan, filem Gila Bola (2003) dan Gol dan Gincu (2005) adalah contoh filem dalam acuan ini. Berbanding filem Gila Bola (2003) yang mudah dilupakan, Gol dan Gincu (2005) boleh dikatakan berjaya sehingga dijadikan siri TV selama 2 musim di 8TV.

thumbgolgincu

Jika dibandingkan Gila Bola dan Gol dan Gincu dengan filem-filem bola sepak yang mengketengahkan tema percintaan lain seperti Fever Pitch (1997), kedua-dua filem ini lebih berat kepada tema percintaan berbanding bola sepak/futsal.

Pada tahun 2013, filem animasi Bola Kampung The Movie pula dikeluarkan. Bagaimanapun filem ini lebih menyasarkan kanak-kanak sebagai audiens.

  • Jejak Warriors – filem persaudaraan bertemakan bola sepak

Selepas bertahun-tahun tanpa filem bola sepak untuk masyarakat umum di Malaysia, filem Jejak Warriors pula muncul.

11535863_1622023408044198_5263221570236762060_n

Jejak Warriors yang bakal mula ditayangkan pada 27 Ogos ini mengingatkan kita kepada tema yang dibawa oleh sebuah filem British, Will (2011).

Jika dalam Will (2011), watak utamanya, Will Brennan, menempuhi rintangan demi rintangan untuk melihat Liverpool bermain di Istanbul. Dalam Jejak Warriors pula, watak utamanya, Wan Raja, ingin berjumpa dengan pemain Kelantan demi memenuhi hasrat bapanya.

Aliran kedua: Filem 100% bertemakan bola sepak

Tetapi ada juga pembuat filem yang meletakkan sejarah bola sepak itu sendiri sebagai tema utama. Filem-filem seperti The Damned United (2009), Marvellous (2014), United (2011), The Two Escobars (2010) dan filem-filem dokumentari bola sepak lain adalah contohnya.

Filem-filem ini mungkin tidak popular di kalangan golongan bukan peminat bola sepak dan keuntungannya tidaklah memberangsangkan, tetapi filem-filem ini dianggap filem berkualiti dan sentiasa berada di hati peminat bola sepak tegar.

  • Ola Bola – filem biografi skuad Olimpik 1980 Moscow

Setakat ini, tiada lagi filem sebegini dibuat dalam konteks tempatan. Bagaimanapun, pada tahun 2016 nanti, filem Ola Bola akan mula ditayangkan. Filem ini mengisahkan tentang kegemilangan pasukan kebangsaan Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980.

Filem bola sepak tempatan: mampukah memberi impak atau sekadar hiburan?

Selepas dihidangkan dengan filem-filem yang menampilkan hiburan kosong yang bertemakan hantu, gangster, lumba haram dan plot novel cinta, amat penting bagi filem-filem bola sepak Malaysia yang bakal ditayangkan seperti Jejak Warriors, Ola Bola dan JDT The Movie untuk mempunyai impak kepada penonton.

Ini kerana banyak mentaliti yang salah dan ortodoks yang masih membelenggu mentaliti pengurusan, peminat bola sepak tempatan dan masyarakat kita secara umumnya.

Mentaliti kesaudaraan antara penyokong boleh diajar melalui filem Jejak Warriors.

CHl5yBWUcAAd6lx.jpg large

Mentaliti perpaduan antara setiap bangsa di Malaysia boleh diajar melalui filem Ola Bola.

11390047_10205599697284135_2513109329272754582_n

Banyak lagi mentaliti lain yang perlu kita perbetulkan. Dan peranan industri perfileman tempatan untuk membantu mengubahnya adalah penting.

Mentaliti wanita tidak boleh bermain bola sepak perlu diperbetulkan. Mentaliti sesebuah kelab bola sepak perlu bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan atau FAM perlu dikikis. Mentaliti bahawa sukan bola sepak adalah untuk bangsa Melayu sahaja juga perlu dihapuskan.

Istilah atlet profesional masih lagi asing dalam masyarakat kita. Diburukkan lagi dengan prestasi terburuk bola sepak Malaysia dalam tempoh beberapa tahun, tidak ramai ibu bapa yang berani menggalakkan anak-anak mereka untuk menerokai bidang kerjaya dalam bola sepak.

Semua mentaliti ini perlu kita ubah. Dan medium terbaik ke arah perubahan mindset ini adalah melalui filem bola sepak.

Ayuh, kita ke panggung!

Sumber : UtusanOnline, Royal Malaysian Police, Jaiho Malaysia, Jejak Warriors