Figueroa: JDT Terpaksa Lepaskan Aaron Niguez Kerana Isu Taktikal

Aaron Niguez boleh dikatakan pemain yang sudah menambat hati ramai penyokong JDT dengan kualiti permainan yang beliau tunjukkan dalam aksi Piala Sumbangsih 2019.

Beliau merupakan penjaring pertama JDT musim ini dalam perlawanan kompetitif. Aaron Niguez juga pemain yang sangat rajin serta memiliki kualiti teknikal yang memukau.

Namun jodoh Aaron Niguez dengan JDT nampaknya tidak panjang. Ini apabila pengurus JDT, Luciano Figueroa mengucapkan selamat maju jaya kepda Aaron Niguez, serta berterima kasih di atas sumbangan pemain tersebut.

Figueroa dalam kenyataan rasmi menerusi media JST menyatakan: “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Aaron Niguez kerana menjadi sebahagian daripada skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berjaya menjulang Piala Sumbangsih 2019.”

Lucho. Luciano Figueroa
Foto: JST

Isu perubahan taktikal telah menjadi sebab kenapa Aaron Niguez terpaksa dilepaskan. Ini demi untuk mengukuhkan lagi skuad JDT. Beliau juga menyatakan keputusan itu diambil selepas pemerhatian ke atas Niguez ketika sesi latihan serta beberapa perlawanan kompetitif.

Figueroa menambah: “Dengan itu, saya merasakan bahawa Harimau Selatan perlu membuat beberapa perubahan taktikal untuk mengukuhkan skuad. Ini berdasarkan pemerhatian yang dilakukan ketika latihan dan perlawanan-perlawanan kompetitif.”

“Oleh itu, saya dan kelab ingin mengucapkan selamat maju jaya buat Aaron untuk kerjaya beliau di masa hadapan. Terima kasih atas sumbangan anda.”

Berdasarkan tinjauan kami di ruangan komen di media sosial JDT, ramai penyokong JDT sendiri terkejut dengan perkhabaran ini.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply