FIFA Wujudkan Dana Khas Bantu Pemain Tak Dibayar Gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) telah melancarkan satu tabung dana khas untuk membantu pemain bola sepak profesional yang tidak dibayar gaji oleh majikan mereka.

Menurut laman Sport Business, mereka bekerjasama dengan Persekutuan Pemain Profesional Antarabangsa (FIFPro) dalam usaha untuk membantu pemain yang dinafikan hak mereka oleh kelab yang diwakili mereka.

FIFA dikatakan telah menyediakan sejumlah dana iaitu $16 juta untuk memastikan tabung itu dapat digunakan sehingga tahun 2022.

Dalam sebuah laporan yang dikeluarkan oleh FIFPro pada 2016, mereka mendapati sebanyak 50 kelab daripada 20 negara akan ‘gulung tikar’ dan tidak membayar baki gaji kepada pemain mereka.

Lazimnya ia berlaku kepada kelab-kelab bola sepak yang berpengkalan di Eropah Timur dan juga Asia.

Bagi Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata, mereka jelas komited dalam usaha untuk membantu pemain-pemain yang teraniaya dengan kelab mereka.

“Kami juga telah mencari mereka yang memerlukan, terutamanya mereka dalam komuniti bola sepak dan kita mulakan dengan para pemain yang merupakan kunci kepada permainan ini.”

Tambah Infantino lagi, bantuan yang diberikan menerusi tabung ini akan dinilai oleh pihak FIFA dan juga FIFPro jika ada permohonan dilakukan.

Akan tetapi, mereka tidak akan membayar jumlah sepenuhnya gaji yang tertunggak kepada para pemain.