FIFA Cadang Benarkan Pasukan Buat Lima Pertukaran Setiap Perlawanan

FIFA UEFA Nations League

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah mencadangkan untuk membenarkan setiap pasukan membuat sehingga lima pertukaran dalam setiap perlawanan berbanding kebiasaannya tiga.

Namun menurut laporan Reuters, cadangan itu adalah perubahan bersifat sementara sebagai langkah untuk mengatasi isu keletihan dalam kalangan pemain memandangkan apabila semua liga bola sepak bersambung, semua pasukan bakal berdepan dengan jadual perlawanan yang sangat padat.

Aksi bola sepak di seluruh dunia kini digantung sejak pertengahan Mac lepas, tetapi kebanyakan liga terutamanya di Eropah masih berharap untuk melengkapkan saingan liga domestik masing-masing dan tentunya mereka kesuntukan masa untuk memastikan semua baki perlawanan dapat ditamatkan.

Cadangan untuk menambah jumlah pertukaran pemain itu dijangka akan dibawa ke badan yang menguruskan undang-undang bola sepak iaitu Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) untuk diluluskan dan keputusan akhir terserah kepada setiap penganjur pertandingan negara masing-masing.

“Apabila pertandingan bersambung, tentunya mereka akan berdepan dengan jadual perlawanan yang amat padat, jumlahnya jauh lebih tinggi daripada kebiasaan.

“Perkara yang membimbangkan kami adalah kepadatan jadual ini berpotensi untuk meningkatkan risiko kecederaan kepada pemain disebabkan keletihan. Keselamatan pemain adalah salah satu keutamaan FIFA.

“Setiap pasukan ini mungkin dibenarkan untuk membuat sehingga lima pertukaran semasa perlawanan dan tambahan pertukaran sekiranya memasuki masa tambahan,” jelas FIFA.

Perubahan itu kemungkinan akan dikuatkuasakan untuk saingan musim ini dan musim depan serta mana-mana perlawanan dan pertandingan peringkat antarabangsa sehingga 31 Disember tahun depan termasuk EURO 2020 yang telah ditangguh ke Jun 2021.

Kini di beberapa negara, penganjur liga sudah pun merancang untuk menyambung liga bola sepak masing-masing dengan Jerman dan Itali dijangka akan memulakan aksi pada bulan Jun.

Namun FIFA menegaskan, aksi bola sepak hanya boleh disambung apabila pihak autoriti kesihatan serta kerajaan negara itu benar-benar yakin keadaan sudah selamat.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai FIFA:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply