FIFA Beri Amaran Jangan Sambung Liga Terlalu Awal

FIFA Gianni Infantino

Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino telah memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak menyambung semula perlawanan bola sepak terlalu awal memandangkan pandemik coronavirus (Covid-19) masih dalam keadaan serius.

Beliau menjelaskan perkara itu kepada semua 211 ahli gabungan FIFA bahawa tindakan melanggar saranan tersebut merupakan satu sikap tidak bertanggungjawab dan semua pihak ketika ini seharusnya menyedari risiko yang bakal berlaku jika ia diteruskan.

Semua pertandingan bola sepak di seluruh dunia telah digantung dengan semua liga domestik dan kejohanan utama seperti Euro 2020 dan Copa America juga telah ditangguh ke tahun hadapan.

“Keutamaan dan prinsip kami adalah untuk memastikan semua pertandingan meletakkan keselamatan di bahagian paling depan,” kata Infantino.

“Saya tidak perlu tekankan perkara ini lagi berkali-kali. Tiada perlawanan, tiada pertandingan, tiada liga yang boleh merisikokan walaupun satu nyawa. Semua orang di dunia ini harus jelas mengenai perkara ini dalam fikiran mereka.”

Sementara itu, perdebatan berlaku di seluruh dunia bila dan bagaimana musim ini boleh bermula semula dengan sebahagian negara berlaku masalah mengenai persetujuan pemain untuk berdepan dengan potongan gaji.

“Ia lebih daripada tidak bertanggungjawab untuk memaksa perlawanan disambung sekiranya keadaan masih belum 100 peratus selamat. Jika kita perlu tunggu lebih lama, ia lebih baik daripada mengambil risiko,” katanya lagi.

Infantino mengulangi bahawa FIFA kini secara serius sedang menilai impak kewangan kepada penangguhan ini supaya mereka dapat menyediakan perancangan dan tindak balas yang tepat untuk mengatasi masalah yang sedang berlaku.

“Kamu perlu tahu yang kami ada di sini dan akan mencari solusi untuk kebaikan bersama. Kamu tidak keseorangan dan dunia tahu ke mana bantuan ini akan disalurkan.

“Jika bola sepak mampu untuk mewujudkan perbincangan yang membolehkan semua pihak menyumbang secara positif, saya yakin kita semua sudah bersedia untuk masa depan yang lebih baik,” tambahnya lagi.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai FIFA:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram