FIFA Benarkan Pemain Amerika Selatan Beraksi Di EPL Minggu Ini

FIFA Amerika Selatan Brazil

Beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) menarik nafas lega selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menarik balik hukuman penggantungan terhadap pemain-pemain Amerika Selatan dan Amerika Tengah untuk beraksi pada minggu ini.

Keputusan itu dibuat selepas persatuan bola sepak dari Brazil, Mexico, Chile dan Paraguay menggugurkan tuntutan mereka untuk badan bola sepak dunia itu mengambil tindakan terhadap kelab-kelab yang tidak melepaskan pemain untuk tugasan antarabangsa.

Ini bermakna Liverpool menjadi pasukan yang paling gembira kerana Alisson Becker, Fabinho dan Roberton Firmino dapat beraksi menentang Leeds United. Skuad kendalian Marcelo Bielsa itu juga pastinya lega dapat menurunkan ayam tambatan mereka Raphinha.

Pemain Brazil lain yang terlibat dalam Ederson, Gabriel Jesus (Manchester City), Thiago Silva (Chelsea) dan Fred (Manchester United).

Begitu juga dengan pemain Mexico, Raul Jimenez (Wolverhampton Wanderers), pemain Paraguay, Miguel Almiron (Newcastle United) dan pemain Chile, Francisco Sierralta (Watford).

Bagaimanapun, trio Tottenham Hotspur, Giovani Lo Celson, Cristian Romero dan Davinson Sanchez serta duo Aston Villa, Emiliano Martinez dan Emiliano Buendia yang terbang ke Amerika Selatan tempoh hari masih tidak boleh diturunkan.

Semua lima pemain tersebut kini sedang menjalani kuarantin selama 10 hari di Croatia sebelum kembali ke England.

Pasukan-pasukan EPL memilih untuk menghalang pemain mereka mewakili pasukan kebangsaan yang akan berkunjung ke negara yang berada dalam senarai merah yang ditetapkan oleh kerajaan United Kingdom.

Ini kerana pemain-pemain ini diwajibkan untuk menjalani kuarantin selama 10 hari apabila pulang ke England yang menyebabkan mereka akan terlepas tiga hingga empat perlawanan dan turut menjejaskan tahap kecergasan.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menjelaskan beliau tidak pernah berniat untuk menghalang pemainnya mewakili negara mereka, tetapi berpendapat larangan yang dibuat itu tidak masuk akal dan sepatutnya semua pihak yang terlibat perlu memikirkan penyelesaian demi kebaikan sukan ini.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply