Felda United Berhati-Hati Dapatkan Pemain, Kawal Perbelanjaan Pasukan

Felda United

Setiausaha Agung Felda United Football Club (FUFC), Afizal Abu Othman, mengakui mereka tidak berdepan sebarang masalah dapatkan pemain tempatan atau import berkualiti jika lakukan perancangan lebih awal.

Tambahnya, keputusan mendapatkan pemain terutama tonggak import di saat akhir sebelum jendela perpindahan ditutup sering kali membuatkan kebanyakan pasukan ditekan dengan harga yang tinggi bagi mendapatkan pemain tersebut.

“Bagi saya alasan ECP akan membantutkan pasukan dapatkan pemain berkualiti adalah tidak sesuai malah saya rasakan ini adalah satu pendekatan sistematik serta tersusun dalam soal perancangan kewangan sejak di awal musim.

Felda United
Afizal Abu Othman

“Malah kami di Felda United telah meletakkan satu bajet tertentu sejak tamat saingan musim lalu dan telah membuat perancangan mendapatkan pemain berdasarkan perbelanjaan yang kami ada tetapi tidak dilupakan soal kualiti.

“Ini termasuk soal pemain import dan kami cukup berhati-hati dalam soal ini, kami tidak mahu lakukan kerja di saat akhir yang mungkin membuatkan perbelanjaan pasukan boleh melebihi daripada apa dirancangkan, “ katanya.

MFL telah memperkenalkan ECP bagi musim 2020 yang dilihat bakal menjadi formula terbaik buat pasukan Liga Malaysia dalam usaha menangani masalah bebanan hutang khususnya tunggakan pembayaran gaji pemain, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

ECP yang sebelum ini telah dipratikkan di LaLiga Sepanyol mampu mendidik pasukan Liga Malaysia berbelanja lebih berhemah di mana kesemua pasukan diwajibkan mengemukakan pelan perbelanjaan dan pendapatan bagi musim 2020 sebelum boleh mendaftarkan pemain.

Kredit foto: Felda United FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram