Bung Mokhtar Bantu Felcra FC Jadikan Stadium Shah Alam Gelanggang Rasmi

Felcra FC sah menjadi pasukan kedua selepas PKNS FC yang akan beraksi dengan menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi di dalam saingan Liga Malaysia 2018.

Pasukan dengan nama jolokan ‘The Rivals’ ini akan melakukan penampilan pertama mereka di saingan divisyen kedua bola sepak negara, 100PLUS Liga Premier pada musim ini.

Kredit: Felcra FC, Facebook

Felcra dijemput oleh FMLLP untuk beraksi di saingan 100Plus Liga Premier setelah Sime Darby FC menarik diri daripada saingan Liga Malaysia pada November lalu.

Bercakap kepada media, Pengarah Komunikasi Korporat, Datuk Abd Rahman Bakri menyampaikan rasa terima kasih Felcra FC kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana membenarkan kelab tersebut menggunakan Stadium Shah Alam untuk saingan Liga Malaysia pada musim hadapan.

Kredit: Felcra FC, Facebook

Untuk itu, Datuk Abdul Rahman turut bersyukur dan beterima kasih kepada Penaung Felcra FC, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (gambar bawah) yang memungkinkan The Rivals untuk beraksi di Stadium Shah Alam.

Ini adalah kerana hubungan baik Penaung Felcra FC itu dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memudahkan proses rundingan dimuktamatkan.

“Mereka ini kawan lama yang berkawan rapat di Parlimen dan dari segi kesinambungan itulah, kita dapat menjalin hubungan yang baik seterusnya meyakinkan kerajaan negeri untuk membenarkan Felcra FC menggunakan Stadium Shah Alam,” katanya Abdul Rahman kepada pemberita.

Berhubung dengan cabaran dan saingan yang bakal dibawa oleh skuad The Rivals, Datuk Abdul Rahman berkata Felcra menyasarkan untuk berada di kelompok kedudukan kedua terbaik liga seterusnya melayakkan diri ke saingan ke Liga Super pada musim depan.

“Dengan gandingan pemain baru, lama dan adunan tiga pemain import dari Brazil serta seorang penyerang Indonesia, Felcra mampu beri impak besar dalam saingan Liga musim ini,” tambah beliau lagi.

Kredit: Felcra FC, Facebook

Untuk saingan Liga Malaysia 2018, The Rival turut menggunakan khidmat jurulatih daripada Brazil, Tarcisio Pugliese.

Bekas jurulatih Ituano SP itu yakin Felcra sudah memiliki barisan pemain yang mantap dan berpotensi besar sekali gus mampu melangkah lebih jauh seandainya sentiasa konsisten dalam setiap perlawanan.

“Semua pemain berusaha keras 100 peratus dan mereka memiliki kualiti yang baik. Saya percaya dengan kemampuan mereka tapi apa yang lebih penting mereka juga perlu percaya terhadap apa yang boleh mereka lakukan,” ujar Pugliese.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram