Feichtenbeiner Anggap Neitzel Calon Tepat Bawa Selangor Ke Peringkat Lebih Tinggi

Feichtenbeiner Neitzel

Pengarah Teknikal Selangor FC, Micheal Feichtenbeiner berpendapat Karsten Neitzel merupakan individu tepat dalam usaha membawa kelab tersebut ke tahap yang lebih tinggi selepas beliau secara rasminya bergelar ketua jurulatih skuad ‘Gergasi Merah’ itu, tengah hari tadi.

Kehadiran Neitzel juga bermakna kem Selangor bakal mendapat sentuhan falsafah dari Jerman berikutan kedua-dua tenaga import tersebut merupakan kelahiran negara ke-13 ranking bola sepak dunia itu.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Neitzel memiliki pengalaman 10 tahun dalam bidang kejurulatihan dan turut pernah berperanan sebagai penolong pengurus di Urawa Reds. Sehubungan dengan itu, Feichtenbeiner melihat pengendali berusia 52 tahun mampu untuk memberikan sumbangan berkesan buat Selangor.

Feichtenbeiner juga mengakui kebolehan Neitzel dalam mencungkil bakat baharu dan ia ternyata cukup sesuai dengan Selangor apabila pasukan ini mempunyai ramai pemain-pemain muda berbakat besar yang boleh diketengahkan.

Keyakinan Feichtenbeiner itu disuarakannya menerusi kenyataan di laman sesawang rasmi Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ketika mengulas mengenai pelantikan tersebut.

”Pertamanya, saya cukup mengenali Karsten kerana beliau merupakan bekas pemain saya. Beliau pernah bermain sebagai pemain tengah dan bermain untuk pasukan saya di divisyen kedua Jerman sebelum beraksi di Bundesliga. Karsten merupakan pemain yang hebat”

”Jadi, adalah cukup bagus jika kami (pihak pengurusan FAS) dan saya selaku Pengarah Teknikal untuk melantik seseorang yang saya kenal sebagai ketua jurulatih.”

”Beliau mempunyai sikap yang bagus, beliau bekerja keras dan mahu membuktikan kemampuannya di Asia. Jadi, saya fikir beliau akan cukup bermotivasi untuk menguruskan pasukan Selangor di Malaysia.”

”Ia adalah keutamaan kami untuk melahirkan pemain kita sendiri untuk bermain di Liga Super. Jadi, kita memerlukan ketua jurulatih yang bersifat terbuka untuk menggunakan pemain muda.”

”Kadang-kala, ia sukar untuk seorang jurulatih mempercayai pemain muda kerana mereka cenderung untuk melakukan kesilapan, tetapi Karsten adalah jurulatih yang berani. Jika beliau dapat melihat kualiti dan kemampuan seseorang pemain muda, beliau akan memberikan mereka peluang.”

”Kita ingin membina pasukan terbaik di Malaysia, dan kita perlu melakukakannya dengan cara kita yang tersendiri. Kita mungkin tidak dapat menarik minat pemain terbaik untuk bermain untuk Selangor, tetapi kita boleh cuba untuk mencipta sebuah pasukan terbaik melalui gaya permainan dan program pembangunan kita,” ujar Feichtenbeiner.

Kredit featured image: TF-Images/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Feichtenbeiner dan Neitzel:

Selangor Sisihkan Bakat Muda? Tentunya Tidak, Kata Michael Feichtenbeiner

Michael Feichtenbeiner: Selangor II Perlu Lebih Banyak Pendedahan

Kelibat Karsten Neitzel Di Selangor, Adakah Beliau Pengendali Baharu ‘The Red Giants’?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply