FC Porto Dedahkan Berita Persaraan Iker Casillas

Iker Casillas

Selepas hampir 22 tahun mencurahkan kudrat mengawal pintu golnya daripada dibolosi pemain lawan, hari ini mungkin menjadi detik sukar buat Iker Casillas apabila kelabnya, FC Porto mengesahkan bahawa penjaga gol legenda itu bakal bersara dari kancah bola sepak profesional.

Meskipun penjaga gol berusia 38 tahun itu masih lagi tidak membuat sebarang pengumuman rasmi berhubung perkembangan terkini tersebut, Presiden FC Porto, Pinto da Costa mengakui Casillas ada mengatakan kepadanya bahawa karier beliau telah pun berakhir.

Keputusan itu pastinya berkait rapat dengan masalah kesihatannya berikutan ‘episod hitam’ serangan jantung yang dialami pada Mei lalu ketika sesi latihan di CTFD PortoGaia. Beberapa bulan kemudian, Casillas telah dilantik untuk menyertai barisan kejurulatihan FC Porto.

Embed from Getty Images

”Saya berasa sangat gembira. Casillas mempunyai sikap yang sangat membuatkan saya tersentuh, kerana sebelum mencalonkan diri [sebagai Presiden Federasi Bolasepak Sepanyol], dia datang ke Porto untuk makan tengah hari bersama saya dan mengatakan bahawa dirinya telah membuat keputusan tersebut dan mahu menamatkan kariernya.”

”Dia mempunyai karier yang cukup hebat, di mana dia hanya beraksi untuk dua kelab sahaja dan kami tahu bahawa hatinya berada pada kedua-dua kelab tersebut,” ujar Pinto da Costa kepada Goal.

Iker Casillas telah menikmati pelbagai kejayaan ketika menyarung jersi Real Madrid, antaranya ialah mengungguli saingan Liga Juara-Juara Eropah bagi musim 1999/00, 2001/02 dan 2013/14 serta muncul juara La Liga sebanyak lima kali. Dalam pada itu beliau turut membantu Real Madrid menjuarai Piala Dunia Kelab FIFA 2014 dan Copa del Rey 2010/11 dan 2013/14.

Memilih untuk berhijrah ke FC Porto pada musim 2015/16, Casillas menjadi sebahagian daripada skuad tersebut yang menjuarai Primeira Liga 2017/18 serta Piala Super Portugis 2018.  Di pentas antarabangsa bersama skuad La Roja, Casillas menjadi tonggak utama Sepanyol ketika muncul juara Piala Dunia 2010 serta Kejuaraan Eropah dua edisi berturut-turut iaitu pada tahun 2008 dan 2012.

Kredit foto: Angel Martinez/Real Madrid via Getty Images

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply