FAS Terima Laporan Ada Pemain Terlibat Dalam Mengatur Perlawanan

Kekalahan mengejut di tangan Felcra FC membuatkan pejabat FAS bergegar. Sarawak mendahului 2-0 dalam perlawanan tersebut namun pada baki 3 minit terakhir Sarawak kalah 2-3 di atas pendatang baru Felcra FC.

Dalam satu siaran media Sarawak menerusi facebook rasmi FAS semalam, pihak FAS menyatakan mereka ada menerima beberapa laporan tentang ada pemain Sarawak yang menjual perlawanan.

FAS meminta maaf kerana Sarawak mengecewakan penyokong terutama sekali yang hadir ke stadium pada perlawanan tersebut.

Presiden FAS, Dato Posa Majais mengarahkan Pengurus pasukan Sarawak, Tuan Haji Wahab Abd. Rahim untuk mengetuai siasatan dalam dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Pada pandangan penulis, FAS tidak seharusnya terburu-buru mengeluarkan kenyataan media seperti ini dalam siaran umum mereka. Ianya seperti satu lagak publisiti (publicity stunt).

Jika benar ada laporan mereka terima. Jalankan siasatan terlebih dahulu dan tangkap si pesalah, barulah keluarkan kenyataan seperti ini.

Isu rasuah dan mengatur perlawanan ini adalah besar. Contohi bagaimana MISC-MIFA mengendalikan kes pemain mereka yang terlibat dalam skandal mengatur perlawanan pada musim lalu.

Mereka serahkan kes kepada SPRM untuk disiasat. Sebelum menghantar laporan kepada SPRM, MISC-MIFA sudah mengumpul beberapa maklumat untuk membantu siasatan.

3 pemain MISC-MIFA diiring pegawai penyiasat SPRM

Beberapa hari lalu, Presiden Melaka United, Datuk Seri Idris Haron mengesyaki ada pemain Melaka yang menerima rasuah dan membuat kenyataan kepada media tentang hal tersebut.

Ini berikutan kekalahan Melaka di tangan Selangor di Cheras.

Kita semua benci rasuah dalam apa jua bidang termasuk bola sepak. Namun untuk mengendalikan kes-kes rasuah, kita haruslah profesional dan rasional bukannya emosi.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram