Farizal Harun Sekali Lagi Buat Penyokong Red Giants Panas

Selepas isu menumbuk pemain tengah PKNP FC, Mohamad Al-Fateh  yang kini masih lagi dalam siasatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), penjaga gol Selangor FA, Farizal Harun terus mencuri tumpuan dengan tingkah laku beliau.

Kali ini penjaga gol berusia 33 tahun itu dikatakan terpalit dengan satu insiden melibatkan penyokong pasukan Selangor. Kejadian dikatakan berlaku selepas tamat perlawanan Liga Super diantara Terengganu FC menentang Selangor yang berlangsung pada malam tadi.

Berkemungkinan kerana gagal mengawal emosi beliau akibat dikritik oleh penyokong Selangor yang hadir di perlawanan yang berlangsung di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, Farizal dikatakan mengeluarkan kata-kata berbaur makian sebagai tindak balas.

Sikap dan tindak balas oleh Farizal itu nyata tidak disenangi oleh penyokong-penyokong Red Giants yang hadir. Apatah lagi perkara sebegitu bukan kali pertama berlaku membabitkan bekas penjaga gol Felda United itu.

Pemain itu sebelum ini turut dikatakan bertindak sedemikian ketika Selangor berkunjung ke Melaka sebelum ini.

Rata-rata penyokong yang memberi tindak balas di media sosial juga mahukan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk mengambil tindakan terhadap penjaga gol itu yang dianggap keterlaluan.

Ini bukan pertama kali insiden melibatkan penyokong di kalangan pemain Selangor. Sebelum ini pemain sayap, Nurridzuan Abu Hassan turut terpalit dengan isu sama apabila memberi isyarat lucah kepada penyokong Perak, sebelum pemain itu tampil dengan permohonan maaf.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan FAS mahu pun pemain berhubung isu ini.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram