FAM Umum 23 Pemain Akhir Bawa Cabaran Negara Di Kejohanan AFC B-19

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam telah mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang dipilih oleh Ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun kebangsaan, Bojan Hodak bagi membawa cabaran negara pada Kejohanan AFC B-19 2018 dari 18 Oktober hingga 4 November 2018 di Indonesia.

Daripada 23 pemain itu, 6 pemain daripada pasukan Liga Super telah dipilih iaitu Akhyar Rashid dan Zafuan Azeman (Kedah), Nik Akif Syahiran dan Syaiful Alias (Kelantan) serta Shafiq Afifi dan Arif Shaqirin (PKNP FC).

Senarai pemain skuad Malaysia B-19 di Kejohanan AFC B-19.

Manakala selebihnya merupakan pemain daripada skuad Liga Premier, Piala Presiden dan Piala Belia yang telah mewakili pasukan B-19 sejak dahulu.

Skuad B-19 kebangsaan yang diundi dalam Kumpulan D akan memulakan kempen berdepan Arab Saudi pada Sabtu, 20 Oktober 2018 pada jam 4.00 petang waktu Malaysia diikuti aksi menentang Tajikistan pada Selasa, 23 Oktober 2018 pada pukul 7.00 malam. Kedua –dua aksi tersebut akan dilangsungkan di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi.

Perlawanan penutup tirai kumpulan D yang akan diadakan di Stadium Pakansari, Bogor bakal menemukan skuad negara menentang China pada Jumaat, 26 Oktober 2018 pada jam 7.00 malam waktu Malaysia.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas Kumpulan D, Malaysia akan bertemu juara atau naib juara Kumpulan C (Australia, Korea Selatan, Vietnam dan Jordan) pada aksi suku akhir, 29 Oktober 2018 (Isnin) di Stadium Patriot Chandrabhaga, pada pukul 7.30 petang (jika muncul juara Kumpulan D) atau 4.00 petang (jika muncul naib juara Kumpulan D).

Keputusan Undian AFC B-19

Seterusnya, kedua-dua perlawanan separuh akhir bakal berlangsung pada Khamis, 1 November 2018. Manakala, perlawanan akhir bakal dilangsungkan pada Ahad, 4 November 2018. Kesemua perlawanan separuh akhir dan akhir bakal dilangsungkan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram