FAM Tidak Tolak Kemungkinan Cheng Hoe Latih Skuad B-22

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Kegagalan skuad bawah 22 tahun (B-22) negara melepasi peringkat kumpulan dalam kejohanan Sukan SEA 2019 di Filipina tempoh hari telah mengakibatkan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee tidak disambung kontrak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana tidak mencapai indeks prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan.

Melihat kejayaan skuad B-22 tahun Vietnam dalam kejohanan tersebut, FAM tidak menolak kemungkinan untuk mencontohi cara negara tersebut yang meletakkan ketua jurulatih skuad utama, Park Hang-seo mengendalikan pasukan B-22 atau B-23.

Kaedah itu turut digunakan oleh negara jiran di mana ketua jurulatih Thailand, Akira Nishino turut memegang dua jawatan untuk memastikan DNA atau corak permainan pasukan muda dan senior dapat diselaraskan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam kenyataannya kepada Stadium Astro mengakui, ketika ini Tan Cheng Hoe merupakan pilihan tepat untuk mengendalikan skuad B-22 bermula tahun depan dan ianya akan dibincangkan dalam mesyuarat FAM tidak lama lagi.

“Keputusan untuk (melantik) jurulatih skuad B-22 itu akan dibincangkan dalam (mesyuarat) Jawatankuasa Skuad Kebangsaan pada Februari atau Mac depan.

“Saya mahu tambah di sini bahawa adalah tidak mustahil untuk ketua jurulatih skuad kebangsaan memikul (tanggungjawab dalam) pasukan B-22,” katanya.

Bagaimanapun FAM sebelum ini telah memberi jaminan kepada Cheng Hoe bahawa beliau hanya perlu fokus kepada skuad utama yang mempunyai misi besar mengutip mata semaksimum mungkin dalam baki tiga perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Kita perlu sedar bahawa kami ada perjalanan yang amat penting bersama jurulatih Tan Cheng Hoe hingga Jun depan.

“Dan saya rasa kami perlu meletakkannya sebagai kepentingan dalam perbincangan dan keputusan yang akan dikeluarkan FAM.”

FAM kini sedang berusaha untuk mendapatkan perlawanan persahabatan dengan pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi dari Asia Barat sebagai persiapan sebelum aksi bertemu UAE dan Vietnam pada bulan Mac akan datang.

Dua pasukan kini dikatakan sudi untuk menerima kunjungan Malaysia iaitu juara Piala Negara Teluk, Bahrain dan juga Palestin. Namun FAM kini menyerahkan kepada Cheng Hoe untuk membuat keputusan untuk memilih di antara dua pasukan tersebut.

Kredit Foto: FAM