FAM Sahkan 7 Pasukan Lulus Lesen FAM, 4 Kini Ada Lesen AFC!

Dalam siaran terbaru FAM di lama rasmi mereka sebentar tadi, FAM menerusi Setiausaha Agung, Dato’ Hamidin Mohd Amin mengesahkan 7 daripada 12 pasukan yang beraksi di Liga Super 2017 telah lulus mendapatkan lesen kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Lesen ini penting bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2018.

Perkara ini telah diputuskan pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 24 Ogos 2017.

7 pasukan tersebut ialah:

1. JDT

2. Pahang FA

3. Perak FA

4. PKNS FC

5. Penang FA

6. Selangor FA

7. T-Team FC.

4 daripada 7 pasukan di atas pula sudah sah mendapat lesen kelab AFC yang membolehkan mereka bermain dalam kejohanan kelab serantau seperti ACL dan Piala AFC. Mereka adalah:

1. JDT

2. Selangor FA

3. PKNS FC

4. Pahang FA

Senarai yang ditolak!

5 permohonan untuk lesen kelab FAM dan AFC kerana gagal menepati beberapa kriteria yang dikehendaki ialah

1. Felda United FC

2. Kedah FA

3. Kelantan FA

4. Melaka United SA

5. Sarawak FA

Dato Hamidin berkata:

“Untuk makluman, bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017.”

Rayuan dibuka

“Bagi pasukan-pasukan yang gagal, mereka telah pun diberikan surat pemakluman dan masih boleh merayu untuk mendapatkan lesen kelab seperti dinyatakan dalam Artikel 3.4.2 Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017 yang mana rayuan mereka dijadualkan akan didengar dalam masa terdekat.”

Berapa lama lesen ini terpakai?

“Lesen kelab FAM & AFC yang dikeluarkan ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2018 dan sepanjang musim berkenaan.”

“Jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017 atau mempunyai kes berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik.”

FAM mengucapkan tahniah kepada pasukan-pasukan yang telah lulus, juga terima kasih kepada organisasi dan individu yang komited di dalam hal ini.

Dato’ Hamidin mengakhiri kenyataan beliau:

“Ini merupakan tahun penting dalam permulaan kita membangunkan pelesenan kelab ini yang mana kita telah menetapkan setiap pasukan yang ingin bertanding dalam saingan Liga Super 2018 serta pertandingan peringkat AFC bagi tahun 2018 perlu memiliki lesen kelab.”

“Saya juga berbangga dengan usaha dan komitmen semua pasukan terlibat kerana ia satu cabaran yang besar memandangkan kebanyakan pasukan melalui proses permohonan lesen kelab ini buat pertama kali dan mereka berjaya melepasi enam kriteria utama yang telah ditetapkan itu.”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram