FAM Rayu Penyokong Hadir Beri Sokongan Padu Kepada Skuad Harimau Malaya

Selepas 3 bulan Stadium Nasional Bukit Jalil sepi tanpa sebarang perlawanan antarabangsa, skuad Harimau Malaya kembali beraksi malam ini apabila dijadualkan menentang Singapura dalam kejohanan empat penjuru, Piala AIRMARINE 2019.

Setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menyeru para penyokong negara tampil memberikan sokongan padu kepada skuad kebangsaan seperti mana mereka membanjiri stadium ketika kempen Piala AFF Suzuki pada bulan disember tahun lepas.

Namun harga tiket RM35 untuk tempat duduk terbuka yang dikenakan oleh pihak penganjur terlalu mahal sehingga menyebabkan Ultras Malaya bertindak memboikot kejohanan tersebut.

Tindakan itu diambil kerana mereka tidak bersetuju skuad Harimau Malaya dieksploitasi untuk tujuan mengaut keuntungan. FAM bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan harga tersebut ditetapkan untuk menampung kos-kos lain.

“Dalam dunia bola sepak moden, pasukan bola sepak kebangsaan adalah produk utama mana-mana badan induk yang dipertanggungjawabkan mengurus tadbir bola sepak.

“Dari sudut pemasaran dan komersial, FAM perlu memaksimumkan nilai pasukan kebangsaan bagi menjana pendapatan dan mencari sumber kewangan untuk disalurkan semula ke dalam bentuk pembangunan pasukan kebangsaan pelbagai peringkat umur,” jelas Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas mengenai dakwaan penganjur kejohanan iaitu ProEvents yang cuba mengambil kesempatan terhadap keghairahan penyokong negara, Stuart menjelaskan pihaknya terpaksa mengalu-alukan tawaran pihak ketiga kerana masalah kewangan yang terhad.

“Bagi Piala AIRMARINE 2019, ProEvents sebagai promoter kejohanan ini mengambil risiko menganjurkan kejohanan sebegini dengan mencari sumber tajaan sendiri dan menanggung kos operasi penganjuran membawa masuk tiga negara ke Kuala Lumpur.

“Justeru, harga jualan tiket yang telah ditetapkan itu adalah bagi menampung kos-kos yang berkaitan. Sebelum ProEvents meraih apa-apa keuntungan, mereka perlu menampung terlebih dahulu kos yang telah dibelanjakan bagi menjayakan kejohanan ini.

“FAM menerima RM300,000 daripada ProEvents sebagai yuran penganjuran. Daripada yuran itu, FAM menggunakan wang berkenaan untuk membiayai kos operasi, bonus pasukan selain dikembalikan kepada bola sepak menerusi pengurusan pasukan-pasukan kebangsaan yang lain iaitu pasukan B-16, B-19, wanita dan juga futsal,” katanya.

Barisan pemain skuad Harimau Malaya yang akan beraksi di Piala Airmarine. FOTO: FAM

Meskipun ada usaha untuk memulau kejohanan Piala AIRMARINE 2019, FAM juga berharap penyokong sejati terus memberi sokongan kepada pasukan Harimau Malaya dan tidak mudah terhasut dengan dakwaan bersifat berat sebelah.

“FAM juga sentiasa membuka pintu perbincangan dengan mana-mana kumpulan penyokong dan mengambil kira pandangan wakil-wakil semua pemegang taruh dalam menentukan dasar yang memberi kesan terus kepada mereka.

“Atas semangat ini, FAM tetap berharap supaya semua penyokong Harimau Malaya hadir memberikan sokongan kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada malam esok bagi menaikkan semangat para pemain Harimau Malaya menentang musuh tradisi kita, Singapura.

“Sokongan anda diperlukan dalam membantu pemain menjiwai misi yang boleh mencerahkan harapan pasukan kebangsaan dalam misi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia bermula pertengahan tahun nanti,” ujar Stuart Ramalingam.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN