FAM Pertimbang Rayu Denda FIFA

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan kepada Bernama bahawa badan bola sepak negara itu kini sedang mempertimbangkan untuk melakukan rayuan terhadap denda yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Baru-baru ini FIFA menjatuhkan denda kepada FAM sebanyak 50,000 Swiss Francs atau bersamaan dengan RM209,952 disebabkan insiden kekecohan penyokong dalam perlawanan menentang Indonesia dia pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 19 November lalu.

Ia juga susulan dua amaran yang diberikan kepada FAM sebelum ini dalam perlawanan menentang UAE di Bukit Jalil, dan kegagalan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe yang gagal hadir ke sidang media selepas perlawanan menentang Vietnam di Hanoi.

Stuart turut mengesahkan telah menerima surat daripada badan induk bola sepak dunia itu pada minggu lepas, dan FAM juga telah menghantar surat maklum balas kepada FIFA untuk memperincikan jenis kesalahan berkenaan.

“Kita akan membayar denda berkenaan, namun kita meminta FIFA untuk memperincikan kesalahan tersebut dengan lebih lanjut,” ujar Stuart.

“Sekiranya kita merasakan ada keperluan untuk merayu, kita akan membuat rayuan, namun kita akan menunggu perincian jenis kesalahan berkenaan terlebih dahulu,” katanya pada hari ini.

Dalam perlawanan menentang Indonesia di Bukit Jalil pada 19 November lalu, berlaku kekecohan di kalangan penyokong Indonesia dan Malaysia yang saling berbalas membaling objek dan suar.

14 penyokong pasukan Indonesia turut ditahan pihak polis dalam insiden tersebut.

FIFA sebelum ini mendakwa FAM telah  didapati bersalah melanggar artikel 16 dan 26 Kod Tatatertib FIFA sebanyak tiga kali.

Indonesia turut menerima hukuman lebih berat. Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) telah dikenakan denda sebanyak RM1 juta dan arahan untuk beraksi di dalam stadium kosong sebanyak satu perlawanan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram