FAM: Pentingnya Falsafah Dan Prinsip Asas Penubuhan Kelab

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Delegasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini didedahkan kepada falsafah, tradisi dan prinsip-prinsip asas kewujudan Tokyo FC, pendahulu Divisyen Satu Liga J, serta kaedah kerjasama dengan komuniti dan sekolah dalam memastikan pembangunan bola sepak kekal mekar di sekitar ibu kota Jepun itu.

Presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin turut disambut dan dihadiahkan jersi kelab oleh Presiden Tokyo FC, Naoki Ogane.

“Lawatan ke Tokyo FC ini menunjukkan betapa pentingnya kelab mempunyai falsafah tersendiri yang selari dengan misi dan visi badan induk.

“Tokyo FC mempunyai identiti, tradisi, prinsip asas penubuhan dan falsafah pembangunan pemain serta DNA yang jelas untuk dikongsi bersama semua pemegang taruh. Ini yang harus ada dengan ahli gabungan FAM serta program pembangunan belia seperti NFDP,” kata Dato’ Haji Hamidin.

Selepas taklimat hampir dua jam itu yang diberikan oleh Pengurus Strategi Belia dan Jabatan Pembangunan Tokyo FC, Takashi Okuhara dan Pengurus Jabatan Perakaunan dan Perancangannya, Nobuki Kobayashi, delegasi FAM dibawa melawat Stadium Ajinomoto yang juga menjadi gelanggang Tokyo FC dikongsi bersama Tokyo Verdy, kelab divisyen dua.

Tokyo FC yang ditubuhkan pada 1935 dengan nama Tokyo Gas Soccer Club, kini mendahului divisyen satu Liga J dan dibimbing oleh Kenta Hasegawa. Antara nama besar yang pernah menyarung jersi Tokyo FC ialah Yuto Nagatomo dan Yuichi Doi.

“Falsafah pembangunan pemain kami pula ialah mereka yang mempunyai kelebihan dan skill pelbagai untuk kepentingan ibu negara Tokyo.

“Pembangunan pemain kami pula bermula pada peringkat pertumbuhan iaitu di sekolah, seterusnya ke peringkat pembangunan pada usia Bawah-15 (B-15).

“Pemain B-18 tahun kami pula ada seramai 45 pemain, dibahagikan kepada dua pasukan, satu pasukan bertanding dalam Liga nasional, satu lagi di Liga Tokyo.

“Kami juga mempunyai pusat latihan sendiri yang sedia lengkap dan dengan ini kelab dapat membantu Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) dalam membentuk pembangunan pasukan kebangsaan,” katanya.

Delegasi FAM kemudian turut dibawa melawat ke Stadium Ajinomoto yang dibuka secara rasmi pada 10 Mac 2001 dengan kapasiti 49,970 penyokong.

Ia adalah stadium pertama menggunakan hak nama jenama di Jepun.