FAM: Jangan Potong Gaji Tanpa Pengetahuan Pemain

Rakyat United

Sekalipun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memberikan ‘lampu hijau’ kepada semua pasukan untuk melakukan perbincangan dengan semua pemain mengenai isu penstrukturan gaji, namun ianya perlu diselesaikan dengan jalan terbaik.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini telah mengeluarkan prinsip bimbingan yang menggalakkan kelab dan pemain untuk membuka jalan kepada rundingan dalam mencari kata sepakat sepanjang krisis pandemik Covid-19.

Bercakap kepada Berita Harian, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan setiap pasukan perlu memastikan rundingan tersebut mencapai jalan terbaik dalam memastikan kebajikan majikan dan pemain terus terbela.

Menurut Stuart, situasi yang berlaku ketika ini adalah kali pertama berlaku dalam sejarah dan setiap pasukan perlu bijak memanfaatkan sepenuhnya ruang perbincangan yang telah dibuka.

Mengenai dua syarat yang diletak oleh Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Stuart enggan untuk mengulas lanjut mengenai isu tersebut.

“Sebenarnya banyak cara yang boleh digunakan yang mana ia mampu memberi situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak tetapi semuanya perlu bermula di meja rundingan.

“Membabitkan dakwaan ada pasukan yang memotong gaji tanpa pengetahuan pemain, setakat yang saya tahu, tiada laporan daripada pemain mengenainya,” katanya.

Dua syarat yang diberikan oleh PFAM adalah pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji sebelum pandemik COVID-19 bermula wajib menyelesaikan tunggakan gaji terlebih dahulu, di samping rundingan dan persetujuan perlu dibuat secara individu dengan pemain, dan bukan dilakukan secara ‘pukul rata.’

Setakat ini beberapa pasukan telah pun memberi respon mengenai cadangan atau kaedah pemotongan gaji yang bakal dilaksanakan. Kelantan contohnya dijangka bakal membuat potongan 20 ke 30 peratus berdasarkan tangga gaji pemain.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai FAM dan isu gaji:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply